Seorang wanita hamil tujuh bulan maut dipercayai dibunuh suaminya dalam kejadian di sebuah rumah sewa di Kampung Makam, Kota Tinggi pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian tersebut pada jam 7 pagi.
Menurut beliau, suspek berusia 35 tahun ditahan di sekitar lokasi kejadian kira-kira jam 7.30 pagi, manakala siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 3 pagi.
“Mangsa berusia 34 tahun dan suaminya merupakan etnik Rohingya,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Beliau berkata, mangsa ditemui meninggal dunia di dalam bilik sebuah rumah sewa di tingkat dua dan dipercayai mengalami kecederaan parah di bahagian kepala selepas dihentak menggunakan objek tumpul yang disyaki lesung batu.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sumber: Sinar Harian
SHARE:
