Seorang lelaki dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumahnya di Kampung Kandek, Dabong, Kuala Krai sejak Isnin lalu.
Mangsa dikenali sebagai Muhd Saifuan Che Mood, 38, dan dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak 16 Februari kira-kira jam 11.30 malam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dabong, Zaimi Samat berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan pada jam 9.54 pagi sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan.
Menurutnya, operasi membabitkan lapan anggota bomba bersama dua jentera, dengan pencarian tertumpu di laluan yang biasa dilalui mangsa.
“Operasi turut dibantu penduduk kampung dan setakat ini melibatkan pencarian sejauh tiga kilometer,” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, radius pencarian akan diperluaskan pada sebelah petang dengan penyertaan Unit Anjing Pengesan (K9) bagi membantu mengesan mangsa.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Mohd Maizan Mustaffa mengesahkan menerima laporan kehilangan tersebut dan memaklumkan operasi pencarian sedang giat dijalankan.
Sumber: Bernama
SHARE:
