KUALA KRAI – Hampir 5,000 penduduk di lima kampung di seberang Sungai Kelantan masih menantikan projek pembinaan jambatan yang menghubungkan perkampungan mereka ke bandar Kuala Krai disiapkan.
Penduduk Kampung Pasir Kelang Lama, Pasir Kelang Baru, Sungai Taku, Taku Estet dan Kampung Buyong Darul Hijrah kini bergantung sepenuhnya kepada perkhidmatan feri atau bot untuk menyeberangi sungai bagi urusan harian.
Mereka menggesa supaya pembinaan jambatan yang menghubungkan Kampung Pasir Era ke Kampung Pasir Kelang dapat disegerakan.
Difahamkan, projek tersebut bermula sejak 2021 namun sehingga kini belum dilaksanakan sepenuhnya.
Seorang penduduk, Mahusin Junoh, 67, berkata sejak puluhan tahun lalu feri menjadi nadi perhubungan utama penduduk untuk ke tempat kerja, menghantar anak ke sekolah dan membeli keperluan harian.
Menurutnya, beliau menggunakan feri dua hingga tiga kali sehari kerana lebih cepat berbanding laluan darat.
“Walaupun terdapat laluan darat, jaraknya agak jauh dan mengambil masa hampir dua jam untuk ke bandar Kuala Krai kerana perlu melalui Tanah Merah terlebih dahulu.
“Berbanding menggunakan feri yang hanya mengambil masa beberapa minit sahaja,” katanya.
Tambah beliau, keadaan menjadi lebih mencabar ketika musim tengkujuh apabila perkhidmatan feri tidak dapat beroperasi akibat arus sungai yang deras.
“Malah jambatan sementara untuk kerja pembinaan jambatan baharu sudah dua kali runtuh akibat dirempuh sisa balak dan arus deras.
“Situasi ini melambatkan lagi pembinaan jambatan baharu yang kini sudah memasuki tahun keenam,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Zulkashifah Che Ibrahim, 54, berkata pada tahun 1990-an penduduk hanya bergantung kepada kapal kayu yang mampu membawa penumpang dan motosikal sahaja.
Katanya, pada 2012 sebuah feri dibeli hasil dana yang dikumpulkan penduduk kampung, sekali gus memudahkan pergerakan termasuk membawa kenderaan.
Namun beliau melahirkan kebimbangan apabila hakisan tebing semakin serius setiap kali musim tengkujuh.
“Disember tahun lalu, hakisan menyebabkan musalla dan tandas awam berhampiran jeti runtuh.
“Saya bimbang jika projek jambatan terus tertangguh, keselamatan penduduk akan terancam,” katanya.
Sementara itu, pemandu feri Koperasi Kampung Pasir Kelang Berhad, Mohd Reduan Yusof, 48, berkata beliau mengemudi feri hampir 100 kali sehari dengan setiap perjalanan pergi dan balik mengambil masa kira-kira 10 minit.
Perkhidmatan feri beroperasi dari jam 7 pagi hingga 11 malam dan dikendalikan enam pekerja dengan tiga orang bagi setiap syif.
Menurutnya, hari Sabtu merupakan waktu paling sibuk berikutan peningkatan pergerakan penduduk ke bandar Kuala Krai dan kawasan sekitar.
Sumber: Berita Harian
SHARE:
