Rakyat Malaysia yang menetap atau sedang melawat wilayah Narathiwat, Thailand digesa mematuhi perintah berkurung yang dikuatkuasakan susulan siri insiden keganasan di tiga wilayah selatan negara itu pada Ahad.
Dalam satu kenyataan, Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla memaklumkan perintah berkurung berkenaan menghendaki orang awam berada di rumah dari jam 9 malam hingga 5 pagi.
“Mengambil kira perkembangan terbaharu ini, warganegara Malaysia yang menetap atau sedang melawat wilayah Narathiwat adalah dinasihatkan untuk mematuhi arahan perintah berkurung, manakala mereka yang berhasrat untuk ke wilayah tersebut hendaklah menangguhkannya sehingga situasi mengizinkan,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan sama, rakyat Malaysia yang berada di wilayah berkenaan turut digalakkan mendaftarkan keberadaan mereka dengan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla bagi memudahkan urusan pemantauan dan keselamatan.
BERKAITAN: Thailand Kenakan Perintah Berkurung Di Wilayah Selatan Susulan Serangan
Pendaftaran boleh dibuat melalui talian +6674 311 062 / +6674 316 274, atau talian kecemasan +6693 657 0707, serta e-mel mwsongkhla@kln.gov.my.
Dalam pada itu, pihak berkuasa Thailand memaklumkan bahawa 11 stesen minyak di tiga wilayah sempadan selatan iaitu Narathiwat, Yala dan Pattani menjadi sasaran serangan bom dan perbuatan khianat yang dilakukan secara serentak pada awal pagi Ahad.
Serangan tersebut mengakibatkan empat individu cedera.
Sumber: Bernama
SHARE:
