Lebih 100 Kes NFA Libatkan ‘Ah Long’ Di Kelantan Dibuka Semula Untuk Siasatan

Lebih 100 kes berkaitan pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau ‘ah long’ yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) di Kelantan tahun lalu, kini dibuka semula untuk siasatan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata langkah itu diambil selepas semakan semula mendapati wujud elemen prima facie dalam kebanyakan kes yang sebelum ini tidak diteruskan.

Menurutnya, banyak kes membabitkan pinjaman wang serta ugutan melampau terhadap mangsa, termasuk ada kes mangsa meminjam RM40,000 namun dipaksa membayar semula sehingga RM200,000.

“Kes seperti ini memberi tekanan hebat kepada mangsa hingga ada yang terfikir untuk membunuh diri. Justeru, kita membuka semula siasatan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, kegiatan ‘ah long’ di negeri ini turut melibatkan peminjam dalam kalangan penjawat awam serta individu berpendidikan.

Mengulas lanjut, Mohd Yusoff berkata modus operandi ugutan lazimnya melibatkan perbuatan conteng serta simbah cat di premis mangsa, yang dipercayai dilakukan kumpulan samseng tempatan yang diupah oleh sindiket ‘ah long’ dari luar Kelantan.

“Mereka ini kebanyakannya bukan dari Kelantan, sebaliknya dari Johor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan negeri lain. Apabila masuk ke kawasan ini, mereka bekerjasama dengan kumpulan samseng tempatan.

“Di peringkat daerah, ada kes yang sebelum ini tidak dibuka. Saya arahkan supaya dibuat semakan semula dan jika wujud prima facie, siasatan mesti diteruskan.

“Kita tidak gentar atau takut dengan ugutan,” katanya sambil memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 5(1) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.

Dalam perkembangan sama, Mohd Yusoff berkata polis telah mengambil keterangan empat lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an berhubung kes ugutan terhadap beliau baru-baru ini, namun kesemua mereka dibebaskan selepas berjaya membuktikan alibi masing-masing.

“Kita masih menyiasat dari semua sudut termasuk kemungkinan mereka diupah oleh ‘ah long’. Setakat ini masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan.

“Mesej ugutan dipercayai sengaja dicipta bagi menimbulkan tanda tanya, namun polis tidak menolak sebarang kemungkinan termasuk kaitan dengan tindakan membuka semula kes ‘ah long’ sejak dua minggu lalu,” katanya.

Sumber: Bernama

SHARE:

TERKINI

Uganda Dakwa Sedia Gerakkan 500,000 Tentera Untuk Tawan Iran
|
Ketua tentera Uganda, Jeneral Muhoozi Kainerugaba mencetuskan perhatian antarabangsa…
PGA Rampas 8,000 Pil Yaba Bernilai RM80,000 Di Kebun Sawit Pasir Mas
|
Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya merampas sebanyak 8,000 biji…
Empat Bom Ikan Ditemukan Berhampiran Sempadan Tanah Merah Dimusnahkan
|
Empat objek disyaki bom ikan yang ditemukan berhampiran kawasan…
Iran Bawa Potret Dan Beg Sekolah 165 Murid Terbunuh Terbang Ke Pakistan
|
Tular di media sosial satu hantaran memaparkan ketua delegasi…
Pemilik Restoran Nasi Ulam Cikgu Meninggal Dunia Selepas Rebah Ketika Solat Isyak
|
Pemilik perniagaan terkenal Restoran Nasi Ulam Cikgu di Kampung…
Masih Ada “Buat Darat” Berkumpul Di LTSIP, 16 Kenderaan Disita, 171 Saman Dikeluarkan
|
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan bersama Jabatan Siasatan dan…
Jawatan Kosong Kelantan