Guru Keluar Seawal 3 Pagi Setiap Hari Dari Pasir Puteh, Naik Kereta Api Ke Dabong

Pengorbanan seorang guru di pedalaman Kelantan ini diibaratkan bagai lilin membakar diri, sanggup mengorbankan masa, tenaga dan keselesaan demi memastikan ilmu terus sampai kepada anak bangsa.

Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Dabong, Wan Marina Ridwana Wan Ruhaimi, 32, memulakan rutin hariannya seawal jam 3.30 pagi dari rumahnya di Selising, Pasir Puteh.

Sekitar jam 4.20 pagi, beliau sudah berada di Stesen Kereta Api Tanah Merah untuk menunggu kereta api sebelum menaiki tren pada jam 4.40 pagi dan tiba di sekolah sekitar jam 7.20 pagi.

Menurut ibu kepada dua cahaya mata itu, perjalanan jauh setiap hari menuntut ketahanan fizikal dan mental yang tinggi, namun dianggap satu pengorbanan demi melaksanakan tanggungjawab sebagai pendidik.

“Saya memilih kereta api kerana lebih jimat dan boleh berehat sepanjang perjalanan memandangkan perlu bangun awal setiap hari,” katanya.

Sebelum ini, Wan Marina pernah mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Utama selama empat tahun dan kini sudah lapan bulan bertugas di SMK Dabong, mengajar mata pelajaran Perniagaan, Pendidikan Jasmani dan Geografi.

Menurutnya, pengalaman berulang-alik menaiki kereta api ke sekolah memberi cabaran tersendiri, namun selepas beberapa bulan bertugas di kawasan pedalaman, beliau sudah terbiasa dengan rutin itu dan tidak menganggapnya sebagai beban.

“Saya pernah tertinggal kereta api sebanyak lima kali sehingga terpaksa memandu sendiri ke sekolah dengan jarak perjalanan sejauh 264 kilometer pergi dan balik,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi guru, Ismail Dollah, 53, yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Dabong, turut melalui rutin hampir sama sejak tiga tahun lalu.

Beliau akan menaiki kereta api dari Stesen Kereta Api Wakaf Bharu seawal jam 3.30 pagi sebelum tiba di Stesen Kereta Api Dabong sekitar jam 7.15 pagi.

Sebaik azan Subuh berkumandang, Ismail akan mengambil wuduk dan menunaikan solat dalam gerabak menggunakan sejadah yang dibawa bersama.

Menurutnya, perjalanan seawal pagi itu adalah rutin demi menunaikan amanah sebagai pendidik walaupun terpaksa mengorbankan waktu tidur dan keselesaan diri.

Selepas tamat sesi persekolahan, beliau akan menaiki kereta api dari Stesen Kereta Api Kuala Gris sekitar jam 2.50 petang dan tiba semula di Wakaf Bharu kira-kira jam 6 petang.

Katanya, tiket kereta api hanya RM5 sehala, menjadikan kos pergi dan balik sekitar RM10 sehari, selain disifatkan sebagai pengalaman unik sepanjang bergelar pendidik.



Sumber: Berita Harian

TERKINI

Bomba Kelantan Rekod 1,509 Kes Kebakaran Terbuka Sejak Mac, Bachok Tertinggi
|
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan merekodkan peningkatan…
Kelantan Sasar Pasaran China & Singapura, Rangka Promosi Pelancongan Lebih Efektif
|
Kerajaan Negeri Kelantan kini merangka pendekatan promosi pelancongan yang…
Bengkel Kereta Di Jalan Long Yunus Kota Bharu Terbakar, Lima Kenderaan Hangus
|
Sebuah bengkel kereta di Jalan Long Yunus, Kota Bharu…
Pengeluaran Dron Serangan Iran Meningkat 10 Kali Ganda Sejak Perang
|
Kadar pengeluaran dron serangan Iran dilaporkan meningkat sehingga 10…
YIK Lahirkan 5,720 Huffaz, 432 Graduan Tahfiz Dirai Dalam Majlis Graduasi Kali Ke-16
|
Yayasan Islam Kelantan (YIK) berjaya melahirkan seramai 5,720 huffaz…
MB Manfaat Lawatan PM Sabtu Ini, Bincang Pembangunan Perlu Disegerakan
|
Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke…
Jawatan Kosong Kelantan