“Satu sen pun saya belum mampu sediakan deposit RM5,000 untuk pembedahan jantung anak kerana pendapatan suami memang tidak mencukupi menampung kehidupan kami sekeluarga,” luah Noor Nazierah Natasha Abdul Aziz, 23.
Menurut laporan Berita Harian, ibu muda itu berdepan tekanan emosi apabila memikirkan kos pembedahan mencecah RM80,000 untuk anak keduanya, Noor Ayla Ammara Muhamad Anuar, 2, yang disahkan mempunyai beberapa komplikasi serius termasuk jantung berlubang, bengkak, injap jantung di bahagian bawah serta kebocoran jantung.
Menurut Noor Nazierah, suaminya hanya bekerja kampung dengan pendapatan sekitar RM1,300 sebulan, menyebabkan kebanyakan wang digunakan untuk membeli susu khas probiotik anaknya yang berharga RM57 sekotak dan hanya mampu bertahan selama seminggu.
“Berat anak saya sekitar sembilan kilogram sahaja. Dia tak mahu makan nasi, cuma bergantung kepada susu itu sahaja,” katanya yang menetap di Kota Bharu, Kelantan.
Lebih menyedihkan, ada ketika mereka terpaksa mengorbankan keperluan makanan sendiri demi memastikan anaknya tidak terputus bekalan susu.
Masalah kesihatan kanak-kanak itu dikesan ketika berusia setahun selepas dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II, apabila anaknya mengalami asma dan doktor mengesan lubang pada jantung berukuran lapan milimeter.
“Anak saya pernah kebiru-biruan dan pengsan. Bila jadi macam itu, saya terus bawa ke bahagian kecemasan,” katanya.
Noor Nazierah turut berkongsi pengalaman terpaksa berhutang RM250 dengan pihak hospital kerana tidak mampu membayar kos rawatan, namun segera melunaskannya sebaik suami menerima gaji.
“Saya pun tak tahu saluran bantuan mana boleh dipohon. Setakat ini, kami hanya bergantung kepada pendapatan suami sahaja. Cukup atau tidak, pandai-pandailah kami uruskan,” katanya.
Anaknya dijadualkan menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara pada 5 Mei tahun depan dan beliau berharap ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan bagi menampung kos rawatan berkenaan.
“Cukup atau tidak wang kami, pembedahan tetap perlu dibuat. Kalau tak mampu bayar sekaligus, kami perlu bayar secara ansuran kepada IJN.
“Bantuan untuk beli susu probiotik anak pun sudah sangat bermakna buat kami. Doktor ada cadangkan vitamin, tapi harganya hampir RM80 seminggu, memang kami tak mampu,” katanya yang kini hanya mendapatkan ubat anaknya di klinik kerajaan.
Kepada yang ingin membantu boleh menghubungi Puan Noor Nazierah Natasha di talian 018-3979633 atau boleh hulurkan sumbangan ke akaun Maybank beliau yang bernombor 153104409988 atau boleh terus scan qr kod dibawah:
Sumber: Berita Harian
