Roslin ke Mesir, Hafiz ke Arab Saudi, badminton antarabangsa terima sentuhan anak Kelantan

Arena badminton dunia sekali lagi mengiktiraf kemampuan Malaysia melahirkan jurulatih berprestij apabila dua beradik kelahiran Kelantan, Roslin Hashim dan Hafiz Hashim, masing-masing dilantik sebagai ketua jurulatih badminton bagi dua negara di Asia Barat dan Afrika Utara.

Hafiz, 42, yang pernah muncul juara Seluruh England 2003, sudah memulakan tugas sebagai Ketua Jurulatih Badminton Arab Saudi sejak Ogos lalu.

Beliau kini membimbing skuad kebangsaan di Dammam menerusi kontrak setahun yang boleh diperbaharui, dengan fokus utama membawa pasukan tersebut ke kelayakan Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Abangnya, Roslin, 50, pula berangkat ke Kaherah untuk memulakan tugasan sebagai Ketua Jurulatih Badminton Mesir menerusi kontrak selama tiga tahun.

Pelantikan dua beradik ini sekali gus mengukuhkan lagi legasi jurulatih Malaysia di peringkat global.

Bekas pemain nombor satu dunia itu menerima tawaran Persekutuan Badminton Mesir (EBF) sebagai sebahagian daripada persiapan jangka panjang menuju Olimpik LA28.

Roslin berkata, peluang tersebut dipilih bagi menimba pengalaman baharu dan mengembangkan kerjayanya di luar negara.

“Ini satu cabaran, saya ambil satu skop kerja yang baharu untuk saya. Cabaran memang besar… bukan hanya sebagai seorang jurulatih di sana tetapi juga sebagai seorang pengarah teknikal dan ketua jurulatih,” katanya seperti dilapor BERNAMA pada 8 Disember.

Beliau turut melihat tahap badminton Mesir yang masih rendah sebagai ruang besar untuk melakukan perubahan.

“Kita lihat dari segi tahap badminton di sana tidak begitu tinggi… jadi, saya nak buat sesuatu kepada pemain Mesir untuk keluar daripada zon selesa mereka.”

Sepanjang tiga tahun di Mesir, Roslin akan mengetuai pembangunan atlet dari aspek teknikal, pengurusan latihan dan perancangan persediaan menuju kejohanan dunia.

Sementara itu, Hafiz yang berlepas ke Arab Saudi pada 25 Ogos lalu berkata tumpuannya adalah transformasi struktur latihan negara berkenaan, termasuk melahirkan pemain elit yang mampu bersaing di peringkat kelayakan Olimpik.

Langkah Mesir dan Arab Saudi memilih jurulatih Malaysia menggambarkan keyakinan tinggi terhadap keupayaan negara dalam melahirkan bakat kejurulatihan bertaraf antarabangsa.

Dalam pada itu, Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Kelantan, YB Zamakhshari Muhammad, merakamkan ucapan tahniah kepada kedua-dua ikon sukan negeri itu.



“Dua adik-beradik, dua negara, satu legasi. Pelantikan ini membuktikan sumbangan pemain legenda Malaysia anak Kelantan tidak terhenti selepas bersara, sebaliknya diterjemah melalui kepimpinan dan kepakaran dalam membangunkan badminton dunia,” katanya.

Sumber: Media Point

TERKINI

Bomba Kelantan Rekod 1,509 Kes Kebakaran Terbuka Sejak Mac, Bachok Tertinggi
|
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan merekodkan peningkatan…
Kelantan Sasar Pasaran China & Singapura, Rangka Promosi Pelancongan Lebih Efektif
|
Kerajaan Negeri Kelantan kini merangka pendekatan promosi pelancongan yang…
Bengkel Kereta Di Jalan Long Yunus Kota Bharu Terbakar, Lima Kenderaan Hangus
|
Sebuah bengkel kereta di Jalan Long Yunus, Kota Bharu…
Pengeluaran Dron Serangan Iran Meningkat 10 Kali Ganda Sejak Perang
|
Kadar pengeluaran dron serangan Iran dilaporkan meningkat sehingga 10…
YIK Lahirkan 5,720 Huffaz, 432 Graduan Tahfiz Dirai Dalam Majlis Graduasi Kali Ke-16
|
Yayasan Islam Kelantan (YIK) berjaya melahirkan seramai 5,720 huffaz…
MB Manfaat Lawatan PM Sabtu Ini, Bincang Pembangunan Perlu Disegerakan
|
Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke…
Jawatan Kosong Kelantan