Gadis Kelantan bawa jengkaut curi tumpuan, mahir baiki jentera berat

Aksi selamba seorang gadis muda mengemudi jengkaut di Kampung Padang Bemban, Binjai, Kota Bharu terus mencuri tumpuan apabila kemahirannya bukan sekadar pada pemanduan, malah dia turut mahir membaiki jentera berat.

Menurut laporan Sinar Harian, Nik Nur Damia Batrisyia Hairol Amry, 20, berkata minat terhadap kenderaan berat seperti jengkaut dan lori sudah berakar sejak kecil.

Dia sering mengikut bapanya, Hairol Amri Ab Manaf yang bekerja sebagai pemandu dan menjalankan perniagaan sewaan jentera berat.

Katanya, dia mula memegang stereng jengkaut pada usia 11 tahun di bawah pengawasan bapa, sebelum benar benar mampu mengemudikan jentera itu sendiri ketika berumur 13 tahun.

Selepas tamat SPM, dia terus bekerja sebagai operator jengkaut sepenuh masa.

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, selain mengendalikan jengkaut dan lori, dia juga mampu melakukan kerja membaiki jentera berat hasil daripada pemerhatian sejak kecil terhadap kerja harian bapanya.

Nik Nur Damia pada awalnya segan kerana pelanggan tidak menyangka seorang gadis mampu mengendalikan jentera besar, namun lama kelamaan ia menjadi kebiasaan dan ramai memuji hasil kerjanya.

Kerjanya meliputi pembersihan parit, kebun, kawasan lapang dan kadang kala memasuki kawasan hutan untuk tugasan tertentu.

Dia sebelum ini tular di TikTok selepas gelagatnya memandu jengkaut menarik perhatian warganet.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chung Cheng itu turut fasih berbahasa Mandarin dan bercita cita meneruskan perniagaan bapanya sebagai kerjaya masa depan.

Nik Nur Damia bekerja dari jam 8 pagi hingga 5 petang dengan kadar sewaan jentera RM550 sehari.

Setiap kali musim tengkujuh, dia akan membantu penduduk kampung memunggah mangsa banjir, meredah air dan membersihkan parit tersumbat kerana kawasan mereka sering dinaiki air sehingga 0.6 meter.

Ibunya, Nik Norazreena Othman, berkata dia dan suami tidak pernah menghalang minat anaknya.

Malah adik lelakinya, Nik Muhammad Haris Ammar yang baru berusia sembilan tahun juga sudah tahu mengendalikan jengkaut dan lori selepas sering melihat bapa mereka bekerja.



KD: Orang Kelantan tak panggil jengkaut, kita panggil 'ssodok' atau 'kes' (Case).

Sumber: Sinar Harian

TERKINI

Uganda Dakwa Sedia Gerakkan 500,000 Tentera Untuk Tawan Iran
|
Ketua tentera Uganda, Jeneral Muhoozi Kainerugaba mencetuskan perhatian antarabangsa…
PGA Rampas 8,000 Pil Yaba Bernilai RM80,000 Di Kebun Sawit Pasir Mas
|
Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya merampas sebanyak 8,000 biji…
Empat Bom Ikan Ditemukan Berhampiran Sempadan Tanah Merah Dimusnahkan
|
Empat objek disyaki bom ikan yang ditemukan berhampiran kawasan…
Iran Bawa Potret Dan Beg Sekolah 165 Murid Terbunuh Terbang Ke Pakistan
|
Tular di media sosial satu hantaran memaparkan ketua delegasi…
Pemilik Restoran Nasi Ulam Cikgu Meninggal Dunia Selepas Rebah Ketika Solat Isyak
|
Pemilik perniagaan terkenal Restoran Nasi Ulam Cikgu di Kampung…
Masih Ada “Buat Darat” Berkumpul Di LTSIP, 16 Kenderaan Disita, 171 Saman Dikeluarkan
|
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan bersama Jabatan Siasatan dan…
Jawatan Kosong Kelantan