Detik penuh emosi berlaku di Mahkamah Sesyen apabila seorang bekas pengurus besar Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) membuat sujud syukur di dalam kandang tertuduh selepas dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan menerima rasuah RM10,000 yang didakwa berlaku 10 tahun lalu.
Keputusan itu dibuat oleh Dazuki Ali selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh, Wan Mohd. Zamri W. Ismail, 64 tahun, di akhir kes pembelaan.
Dalam penghakimannya, hakim menyatakan mahkamah menerima penjelasan tertuduh bahawa wang RM10,000 berkenaan digunakan bagi membantu mangsa banjir besar yang melanda Kelantan pada Disember 2014.
Menurut beliau, pihak pembelaan juga berjaya mematahkan anggapan di bawah Seksyen 50(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 berdasarkan imbangan kebarangkalian.
“Mahkamah berpuas hati bahawa wang tersebut digunakan untuk membantu mangsa banjir besar pada Disember 2014 dan keterangan yang diberikan adalah penjelasan jujur, bukan direka-reka atau pemikiran semula,” katanya.
Walaupun keterangan yang dikemukakan tidak memperincikan secara spesifik kegunaan setiap sen wang berkenaan, mahkamah secara keseluruhan berpuas hati terhadap penjelasan tertuduh.
Sehubungan itu, mahkamah memerintahkan Wan Mohd. Zamri dilepas dan dibebaskan sepenuhnya daripada pertuduhan, selain wang jaminan dipulangkan semula.
Terdahulu, tertuduh mengaku tidak bersalah pada 14 Ogos 2022 atas pertuduhan menerima rasuah RM10,000 sebagai dorongan membantu sebuah syarikat dilantik sebagai subkontraktor bagi projek AKSB.
Mengikut pertuduhan, wang itu didakwa diterima daripada seorang individu melalui cek bertarikh 21 Januari 2015 yang dimasukkan ke dalam akaun bank milik tertuduh, berkaitan projek Skim Bekalan Air Merbau Chondong Fasa II, Pakej I Machang.
Wan Mohd. Zamri didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia manakala tertuduh diwakili peguam bela.
Sumber: Kosmo
