Makkah dilanda hujan lebat dan banjir kilat, amaran ribut dikeluarkan

Makkah Dilanda Hujan Lebat: Banjir Kilat, Angin Kencang & Amaran Ribut Dikeluarkan NCM

Beberapa kawasan di wilayah Makkah dikejutkan dengan hujan lebat pada 12 November, menyebabkan banjir kilat, jalan tenggelam dan trafik terganggu.

Kawasan selatan Makkah antara yang paling terjejas apabila air melimpah deras hingga kenderaan terpaksa meredah banjir.

Menariknya, pusat bandar Makkah termasuk kawasan sekitar Masjidil Haram tidak menerima hujan, sebaliknya hanya mengalami angin kencang dan langit mendung.

Pusat Meteorologi Kebangsaan (NCM) Arab Saudi sebelumnya telah mengeluarkan amaran merah, memberi amaran mengenai hujan lebat, ribut petir, hujan batu dan risiko banjir kilat sehingga lewat malam.

Di media sosial, tular rakaman kenderaan meredah jalan yang sudah bertukar menjadi aliran air deras, terutamanya di daerah seperti Difa’q yang dilanda ribut kuat untuk hari kedua berturut-turut.

Seorang penduduk berkata dalam video tular:
“Air hujan mencurah tanpa henti dan mengalir deras di jalan-jalan utama.”

Ada juga rakaman pemandu yang terpaksa memberanikan diri mengharungi banjir, dengan netizen menyifatkan keadaan itu “seperti banjir besar zaman dahulu”.

Jurucakap NCM, Hussein Al-Qahtani, dalam kenyataan di platform X menjelaskan bahawa hampir seluruh wilayah Arab Saudi dijangka mengalami hujan sederhana hingga lebat bermula Jumaat (14 November) hingga Isnin (17 November).

Ramalan menunjukkan hujan bakal melanda banyak kawasan termasuk Makkah, Madinah, Riyadh, Asir, Al-Baha, Jazan, Qassim, Hail, Tabuk, Al-Jouf, Wilayah Sempadan Utara dan sebahagian wilayah Timur Arab Saudi.

Pihak berkuasa turut memberi amaran mengenai angin kencang secara tiba-tiba, hujan batu, ombak tinggi dan risiko banjir kilat.

Pusat Krisis dan Pengurusan Bencana Amiriah Makkah pula menasihatkan penduduk supaya sentiasa berwaspada dan mengikuti makluman rasmi sepanjang tempoh ribut.

Pada malam 12 November, beberapa kawasan turut merekodkan kelajuan angin sehingga 50 km/j, manakala ketinggian ombak mencecah 2.5 meter.

Fenomena ribut hujan batu juga dijangka berlaku susulan hujan lebat berterusan.

Kejadian ini mengingatkan kembali hujan besar 2024 yang menenggelamkan sebahagian Asia Barat, termasuk Arab Saudi. Ketika itu, jalan raya bertukar menjadi “sungai deras”, kereta dihanyutkan dan penduduk terpaksa meninggalkan kenderaan demi keselamatan.

Di Qassim, paras air dilaporkan naik hingga ke paras lutut, memaksa ramai penduduk berlindung dalam rumah.

“Hujan tidak berhenti. Jalan jadi seperti arus deras,” kata seorang penduduk kepada AFP.

Ribut petir turut kedengaran di banyak wilayah, malah ada penduduk menggambarkan:

“Petir menyambar seperti lampu yang menerangi seluruh bandar.”

Pemandu di lebuh raya antara Makkah, Jeddah dan Taif juga telah diberi amaran mengenai jarak penglihatan rendah serta permukaan jalan licin.

Fenomena cuaca tidak menentu ini bukan sahaja menjejaskan Arab Saudi, tetapi turut memberi kesan kepada negara-negara sekitar seperti Mesir, Iraq, Jordan, Syria, Lebanon, Palestin dan Kuwait yang dijangka berdepan hujan lebat serta risiko banjir.

Sumber: Berita Harian

TERKINI

APM Ambil Masa Lebih 5 Jam Pindahkan Pesakit Obesiti 180kg Di Pasir Mas
|
Angkatan Pertahanan Awam (APM) mengambil masa lebih lima jam…
Pilihan Raya Negeri SG4 Dijangka Diadakan Serentak Dengan PRU16
|
Empat negeri yang ditadbir Perikatan Nasional (PN) iaitu Kelantan,…
200 Unit Vape Bernilai RM20,000 Dirampas Di Tepi Sungai Golok
|
Cubaan menyeludup 200 unit peranti vape ke Thailand gagal…
RESET Himpun 20,000 Penyokong, Fokus Bantu PAS Menang PRU
|
Pimpinan Gerakan RESET menegaskan mereka berjaya menghimpunkan kira-kira 20,000…
Kelantan Catat Kadar Penagih, Penyalahgunaan Dadah Tertinggi – AADK
|
Kelantan terus merekodkan kadar tertinggi penyalahgunaan dadah di Malaysia…
Facebook Dan Messenger Alami Gangguan, Pengguna Di Seluruh Dunia Terjejas
|
Platform media sosial Facebook dan aplikasi Messenger dilaporkan mengalami…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!