Kerajaan Kelantan sangkal dakwaan pelajar pondok kurang cintakan negara
Kerajaan Kelantan menafikan dakwaan bahawa pelajar sekolah pondok di negeri ini mempunyai tahap kecintaan terhadap tanah air yang rendah seperti yang dilaporkan media semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan, YB Ustaz Mohd Asri Mat Daud, menegaskan kenyataan tersebut adalah tidak tepat dan tidak menggambarkan realiti sebenar sistem pendidikan pondok di negeri itu.
Beliau merujuk kepada laporan media yang memetik kenyataan Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Pejabat Perdana Menteri Kelantan, yang mendakwa tahap kecintaan terhadap negara dalam kalangan pelajar pondok masih rendah.
BACA: Tahap cintakan negara pelajar pondok di Kelantan rendah – AKM
Pondok bukan tidak cinta negara, tapi ada acuan tersendiri
Menurut Ustaz Mohd Asri, penilaian yang dibuat hanya berdasarkan kepada ketiadaan penglibatan pelajar pondok dalam program kenegaraan anjuran kerajaan persekutuan seperti KPM, MARA atau JAKIM, sedangkan sistem pondok mempunyai pendekatan tersendiri dalam mendidik pelajar tentang semangat cintakan tanah air.
“Menilai tahap kecintaan terhadap negara hanya kerana mereka tidak ikut program kerajaan adalah satu keputusan tangkap muat yang tersasar,” katanya.
Beliau menjelaskan, sistem pondok di Kelantan menggabungkan silibus turath (tradisional) dan aliran moden, yang diwarisi daripada ulama terdahulu. Melalui pendekatan tarbiah dan talaqqi, semangat hubbul watan (cinta tanah air) diterapkan secara mendalam dan berasaskan kefahaman agama.
Ulama pondok dahulu antara pejuang kemerdekaan
Tambahnya lagi, sejarah membuktikan bahawa institusi pondok memainkan peranan penting dalam perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu.
“Ulama pondok dahulu bukan sahaja mengajar ilmu agama, malah turut memimpin gerakan menentang penjajahan dan menanam semangat cinta tanah air yang tinggi,” katanya.
Beliau turut menegaskan, semangat itu masih diteruskan oleh generasi pondok hari ini, cuma pendekatannya berbeza dengan sistem sekolah arus perdana.
Kerajaan negeri anjur pelbagai program kenegaraan pondok
Ustaz Mohd Asri turut menjelaskan bahawa kerajaan negeri dan Pusat Pembangunan Pondok Berhad (PDPB) telah menganjurkan pelbagai program berkaitan kenegaraan dan kemerdekaan di pondok-pondok di seluruh Kelantan.
Antaranya termasuk daurah sejarah ulama pondok yang menentang penjajahan serta program penghayatan Rukun Negara dan kenegaraan yang disusun dalam silibus pengajian masing-masing.
“Hakikatnya, pelajar pondok memahami nilai kenegaraan dan kedaulatan negara, cuma cara penyampaian dan pendekatan mereka lebih cermat dan tersusun mengikut watak pengajian masing-masing,” katanya.
“Sejarah tidak pernah menipu”
Mengakhiri kenyataannya, Ustaz Mohd Asri menegaskan bahawa sejarah institusi pondok tidak boleh ditafsirkan secara sewenang-wenangnya.
“Menilai rendah tahap cintakan negara hanya kerana mereka tidak ikut program kerajaan persekutuan adalah tidak bertepatan dengan realiti sebenar pondok. Acuan pondok berpaksikan turath, tapi tetap mendukung semangat hubbul watan,” katanya.
