Program Liga Elit Dewan Undangan Negeri (LED) Kelantan bukan sekadar pertandingan bola sepak peringkat komuniti, sebaliknya kini terbukti menjadi medan pencungkil bakat yang berjaya melahirkan pemain hingga ke pentas profesional dan kebangsaan.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan, YB Zamakhshari Muhamad, berkata ramai pemain yang pernah menyertai LED kini beraksi bersama pasukan negeri serta kelab ternama tanah air.
“Ramai tertanya sejauh mana pemain LED boleh pergi. Hakikatnya, ramai yang kini sudah membuktikan kemampuan di peringkat lebih tinggi,” katanya ketika menjawab soalan tambahan YB Pulai Chondong dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.
Antara pemain LED yang berjaya ke pentas profesional ialah Ahmad Syihan Hazmi Mohamed (DUN Salor) yang kini beraksi bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) dan skuad kebangsaan Malaysia, Mohammad Fikri Che Soh (DUN Kijang) bersama Kelantan United (KTRW), serta Muhammad Hakimi Abdullah (DUN Meranti) yang kini bersama N9 FC.
Turut mencipta nama ialah Nik Akif Syahiran Nik Mat (DUN Mengkebang) yang pernah beraksi bersama Kelantan, Terengganu dan Pulau Pinang; Fakhrul Che Ramli (DUN Kemuning) mewakili WTS FC, serta dua pemain DUN Panchor iaitu Mohamad Khala’if Mohd Naskam dan Mohamad Khairul Rizam Che Soh yang turut menyertai beberapa kelab utama tanah air.
Zamakhshari berkata, kejayaan itu membuktikan LED bukan sekadar pertandingan tempatan, tetapi platform pembangunan sukan bola sepak yang efektif untuk melahirkan pelapis negeri.
“Ramai bakat muda bermula di padang-padang kecil sekitar DUN, kini sudah beraksi di stadium besar mewakili negeri dan negara.
Inilah tujuan asal LED, melahirkan pemain berdaya saing, berdisiplin dan berpotensi besar dalam sukan bola sepak,” katanya.
Katanya lagi, kerajaan negeri akan terus memperkukuh LED sebagai landasan pembangunan sukan akar umbi yang bukan sahaja mencungkil bakat, tetapi turut memupuk semangat perpaduan dan disiplin dalam kalangan belia.
#KelantanDaily
