KPDN cadang eksport minyak masak ke Thailand secara sah elak ketirisan

KOTA BHARU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan mencadangkan supaya pengeksportan minyak masak bersubsidi ke Thailand dilakukan secara sah bagi mengurangkan ketirisan serta penyelewengan subsidi yang kerap berlaku di kawasan sempadan.

Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail, berkata langkah itu penting memandangkan terdapat segelintir pihak tidak bertanggungjawab yang menjual minyak masak bersubsidi ke negara jiran demi keuntungan cepat, sedangkan subsidi tersebut diperuntukkan khusus untuk rakyat Malaysia.

“Kalau hendak jual ke Thailand, buat secara halal melalui saluran sah dan ikut undang-undang eksport. Kita ada mekanisme itu, bukan secara haram,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Menurut beliau, permintaan tinggi di selatan Thailand menjadi punca utama penyelewengan berlaku kerana penduduk di kawasan itu lebih cenderung menggunakan minyak masak Malaysia yang diyakini berkualiti, halal dan jauh lebih murah berbanding produk tempatan.

Azman menjelaskan bahawa harga minyak jagung di Thailand kini mencecah lebih RM8 seliter, sekali gus menjadikan minyak masak Malaysia lebih digemari oleh pengguna di sana.

Dalam masa sama, KPDN akan terus bekerjasama dengan agensi penguat kuasa lain bagi mengekang aktiviti penyeludupan dan penyelewengan di kawasan sempadan, termasuk di Rantau Panjang dan Pasir Mas.

Sementara itu, tinjauan Bernama di pasar berhampiran pekan Sungai Golok, selatan Thailand, baru-baru ini mendapati minyak masak keluaran Malaysia dijual secara terbuka dan berleluasa.

Produk itu mudah dikenal pasti melalui label Bahasa Melayu dan cap halal Malaysia, malah dijual bersama barangan dapur lain tanpa sebarang sekatan.

Hasil pemerhatian turut mendapati beberapa peniaga menjual minyak masak tersebut dalam kuantiti besar kepada pelanggan tempatan, dipercayai dibawa masuk melalui jalan tikus di sepanjang sempadan bagi memenuhi permintaan tinggi penduduk setempat.

Seorang peniaga tempatan, Somchai Prasert, 42, mengakui menjual minyak masak subsidi Malaysia secara tidak sah kerana harganya jauh lebih murah dan mendapat permintaan tinggi.

“Minyak Malaysia laris kerana murah dan halal, sedangkan minyak tempatan lebih mahal. Jika saya tidak jual, pelanggan akan beli di tempat lain,” katanya.

Seorang lagi peniaga, Niran Chai, 35, berkata penjualan minyak masak Malaysia memberikan keuntungan segera walaupun berisiko.



“Kami tahu ia menyalahi undang-undang, tetapi jika tidak ambil peluang ini, kami rugi kerana ramai pelanggan mahu membeli minyak Malaysia,” katanya.

#KelantanDaily
Sumber: Bernama

TERKINI

Seleweng Dana Zakat RM230 Juta, SPRM Tahan Tiga Individu
|
Tiga individu termasuk seorang timbalan pengerusi sebuah badan bukan…
Tular Caj RM30 Baiki Kalkulator, KPDN Serbu Premis Di Kota Bharu Untuk Siasatan
|
Isu caj baiki kalkulator yang dimasuki air sehingga mencecah…
Remaja 18 Tahun Ditahan, Bawa PATI Guna Kenderaan Pikap Milik Abang
|
Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun sanggup meredah risiko…
Suami Isteri Dera Anak Saudara Usia 10 Tahun Direman 7 Hari Di Machang
|
Suami isteri yang ditahan semalam kerana disyaki melakukan penderaan…
Dulu Bergelumang Najis, Abbe Hae Kongsi Perkembangan Terbaru Pak Din
|
Kisah seorang warga emas yang pernah tular sebelum ini…
Kakitangan Kerajaan Negeri Kelantan Bebas Rasuah, Tiada Yang Didakwa SPRM
|
Kerajaan negeri Kelantan menegaskan bahawa tiada seorang pun kakitangannya…
Jawatan Kosong Kelantan