Pembukaan tapak motorhome, karavan jadi tarikan baru di Kelantan

KOTA BHARU – Pembukaan beberapa tapak khas untuk motorhome dan karavan di Kelantan kini menjadi tarikan baharu sektor pelancongan negeri, khususnya pada musim cuti sekolah.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Nor, berkata kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan telah menyediakan lokasi strategik yang dilengkapi kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik dan tandas demi keselesaan pengunjung.

“Antara tapak utama adalah di Gunung Reng (Jeli), Jeram Mengaji (Pasir Puteh) dan Pantai Kemasin (Bachok) yang mampu menampung ratusan motorhome pada satu-satu masa.

Gunung Reng boleh memuatkan hingga 80 motorhome, Jeram Mengaji sebanyak 120 buah, manakala Pantai Kemasin berkapasiti lebih 300 kenderaan rekreasi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan semula Pasar Pelancongan Pengkalan Datu, Pengkalan Chepa, di sini hari ini.

Fenomena Motorhome Semakin Dapat Perhatian

Menurut Kamaruddin, fenomena motorhome di Kelantan semakin berkembang selepas Pesta Rakyat di Gunung Reng baru-baru ini yang berjaya menarik penyertaan 47 motorhome.

Katanya, Persatuan Motorhome Malaysia yang kini mempunyai lebih 1,200 ahli berdaftar di seluruh negara semakin aktif menganjurkan konvoi dan percutian berkumpulan ke Kelantan, yang terkenal dengan keunikan budaya serta keindahan alam semula jadi.

Budaya Tradisional Jadi Tarikan Pelancong

Selain motorhome, pelbagai tarikan lain turut menyumbang kepada pertumbuhan sektor pelancongan Kelantan termasuklah budaya tradisional yang sering ditampilkan dalam acara rasmi, program swasta dan aktiviti komuniti.

“Sekarang sudah menjadi trend untuk memakai pakaian tradisional dalam pelbagai acara. Ramai penganjur mengetengahkan identiti Kelantan melalui pakaian dan makanan tradisional, sekali gus memberikan nilai tambah kepada produk pelancongan negeri,” katanya.

Beliau menambah, faktor perkahwinan rentas negeri antara rakyat Kelantan dengan pasangan dari luar juga mendorong lebih ramai pelawat ke negeri ini bukan sahaja untuk menghadiri majlis perkahwinan, malah turut mengambil peluang bercuti bersama keluarga.

Pasar Pelancongan Pengkalan Datu Dibuka Semula

Mengulas mengenai pembukaan semula Pasar Pelancongan Pengkalan Datu, Kamaruddin berkata lokasi itu akan menjadi tarikan tambahan di sekitar lembangan sungai dengan menampilkan warisan seni budaya seperti dikir barat, silat, wau, gasing, rebana dan mak yong.

#KelantanDaily
Sumber: Bernama

TERKINI

AS Akan “Berundur’ Dari Iran Dalam Tempoh 2 Hingga 3 Minggu
|
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mendakwa tentera Amerika akan…
Bersedia Hadapi Peningkatan Kos Bahan Api Bagi Penjanaan Elektrik
|
Malaysia perlu bersedia menghadapi kemungkinan peningkatan kos bahan api…
Pemandu Mabuk, Positif Dadah Hadapi Tuduhan Bunuh
|
Seorang juruteknik yang dipercayai memandu di bawah pengaruh dadah…
Dari Sawah Terbiar Kini Jadi Ikon Baharu Pelancongan Desa Di Jelawat, Bachok
|
Siapa sangka kawasan sawah padi yang suatu ketika dahulu…
Pelajar Terbaik Kelantan Raih 12A+ SPM, Hafiz al-Quran, Fasih 3 Bahasa
|
Impian seorang ibu yang tidak kesampaian untuk menjadi doktor…
Disahkan Autisme Pada Usia 16 Tahun, Pelajar SMKA Naim Lilbanat Raih 10A Dalam SPM
|
Walaupun disahkan menghidap autisme pada usia 16 tahun, seorang…
Jawatan Kosong Kelantan