KOTA BHARU, 23 Sept – Pelakon dan pelawak, Amir Raja Lawak, 36, meluahkan rasa kecewa kerana masih belum menerima bayaran daripada sebuah stesen televisyen terkenal sehingga bapanya, Azmi Deris, 67, meninggal dunia di Hospital Pakar USM Kubang Kerian pada malam Isnin.
Menurut Amir atau nama sebenarnya Mohammad Amirullah Azmi, beliau sangat terdesak untuk mendapatkan baki bayaran berjumlah RM18,000 itu bagi menampung kos rawatan bapanya yang menghidap kanser usus.
"Perjuangan untuk dapatkan duit itu setakat ini saya belum dapat apa-apa daripada pihak berkenaan.
Tindakan selepas ini, saya tidak ada fikir apa-apa lagi. Biarlah dulu, harap bayarlah. Kerana sebelum ini saya terdesak untuk kegunaan abah, beli katil dan sebagainya," katanya ketika ditemui selepas pengkebumian arwah bapanya di Tanah Perkuburan Islam Makam Tok Kenali, Kubang Kerian, pada Selasa.
Anak sulung daripada lima beradik itu bagaimanapun bersyukur kerana ramai pihak tampil membantu meringankan beban beliau sekeluarga.
Ujarnya, antara yang menghulurkan sumbangan ialah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud, kepimpinan tempatan serta rakan-rakan terdekat.
Amir turut berkongsi bahawa beliau sepatutnya menghadiri sidang akhbar Muzikal Lawak Super Star di Kuala Lumpur pada Selasa, selain menerima tawaran berlakon filem bersama Prof A. Razak Mohaideen.
Namun begitu, katanya, beliau tetap memilih untuk tinggal di Kelantan dan hanya akan berulang-alik ke Kuala Lumpur sekiranya menerima tawaran pekerjaan.
#KelantanDaily
Sumber: Sinar Harian
