Jambatan Linggi Ditenggelami Air, 600 Penduduk Orang Asli Terkandas

Kira-kira 600 penduduk Orang Asli di Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir, Gua Musang, kini terkandas selepas Jambatan Linggi yang menjadi laluan utama mereka ditenggelami air sejak pagi semalam.

Menurut laporan Harian Metro, hujan yang berterusan sejak Sabtu menyebabkan air sungai melimpah sehingga menenggelamkan jambatan berkenaan.

Jambatan itu merupakan penghubung utama ke perkampungan Orang Asli daripada kaum Mendriq dan Bateq.

Penghulu Kampung Pasir Linggi, Harun Ismail, berkata penduduk kini terpaksa menggunakan perahu untuk keluar dari penempatan mereka.

"Air naik sejak jam 11 pagi semalam dan sehingga kini masih belum surut sehingga menyebabkan kami tidak dapat keluar daripada penempatan ini.

"Jika ada kecemasan atau keperluan mendesak untuk keluar kami perlu menggunakan perahu untuk ke seberang," katanya ketika dihubungi hari ini.

Air Masih Belum Surut

Penduduk, Norhayati Ahmad Yassin, 44, turut berkata keadaan itu menyebabkan dia tidak dapat keluar dari kampung sejak air mula melimpahi jambatan berkenaan.

"Pagi tadi saya tengok air masih lagi belum surut dan kami tidak dapat keluar ke mana-mana. Kejadian ini tidak dijangka kerana biasanya berlaku musim tengkujuh," katanya.

Keadaan berkenaan menyebabkan penduduk bergantung kepada perahu sekiranya perlu keluar dari penempatan, khususnya bagi urusan kecemasan atau keperluan mendesak.

Dalam perkembangan berkaitan, portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga jam 8.30 pagi tadi merekodkan 81 mangsa daripada 22 keluarga masih berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Kasturi 1.

Sumber: Harian Metro

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!