Seorang lelaki yang dipercayai menendang anak perempuannya di sebuah restoran masakan ala Thailand di Telipot, Kota Bharu pada Jumaat lalu akhirnya ditahan polis.
Menurut laporan Kosmo, suspek yang berusia dalam lingkungan 40-an itu diberkas selepas menyerah diri di Balai Polis Kota Bharu semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri berkata, lelaki berkenaan direman bermula hari ini bagi membantu siasatan.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Sebelum ini, polis memburu suspek selepas menerima laporan daripada orang awam kira-kira pukul 10.24 malam kelmarin berhubung rakaman kejadian yang tular di media sosial.
Video berkenaan memaparkan seorang lelaki bertindak kasar dengan menyepak seorang kanak-kanak perempuan yang dipercayai anaknya di premis tersebut.
Rakaman itu pada awalnya dimuat naik oleh pemilik restoran berkenaan menerusi akaun Facebook sebelum tersebar luas dan mendapat perhatian orang ramai.
Sumber: Kosmo
