Warga Emas Maut Diserang Gajah Ketika Cari Lembu Hilang di Kuala Krai

Seorang lelaki warga emas maut dipercayai diserang seekor gajah ketika mencari lembunya yang hilang di kawasan Ladang Lepan Kabu, Kuala Krai, petang Rabu.

Mangsa, Ghazali Setapa, 66, dari Kampung Pahi, ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa selepas pekikan gajah kedengaran dari kawasan berhampiran lokasi pencarian.

Menurut laporan Bernama, Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Mazlan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 4 petang.

Sepasukan anggota polis bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) serta Angkatan Pertahanan Awam kemudian digerakkan ke lokasi.

“Pasukan terlebih dahulu memastikan kawasan berkenaan selamat sebelum mayat mangsa dibawa keluar dari lokasi,” katanya kepada Bernama hari ini.

Berpecah ketika mencari lembu

Sementara itu, Penghulu Mukim Pahi, Mohd Khairul Anuar Mohd Nor berkata, mangsa pergi ke kawasan ladang tersebut bersama dua anaknya dan tiga rakan untuk mencari lembu yang hilang.

Menurutnya, kumpulan berkenaan berpecah untuk melakukan pencarian kira-kira jam 3 petang sebelum kumpulan yang diketuai rakan mangsa dikenali sebagai Rasidi terlihat seekor gajah.

“Seorang daripada mereka kemudian diarah memaklumkan kejadian itu kepada PERHILITAN manakala kedudukan mangsa ketika itu tidak diketahui kumpulan berkenaan.

“Tidak lama selepas itu, mereka terdengar pekikan gajah dari kawasan yang tidak jauh dari lokasi pencarian sebelum pergi ke arah bunyi berkenaan dan menemukan mangsa dalam keadaan tidak bernyawa, dipercayai telah diserang mamalia berkenaan,” katanya.

Jenazah mangsa kemudiannya dihantar oleh pihak polis ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra untuk proses bedah siasat.

Mohd Khairul Anuar berkata, kawasan tersebut pernah dimasuki gajah sebelum ini, namun kejadian terakhir dilaporkan berlaku kira-kira dua atau tiga tahun lalu.

Menurutnya, kawasan berkenaan bukan habitat gajah dan haiwan tersebut dipercayai mungkin tersesat.

Sumber: Bernama

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!