Asyraf Wajdi, Akmal Saleh Sah Hadir Muktamar PAS Ke-72 di Kota Bharu

Dua pemimpin utama UMNO disahkan akan menghadiri Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-72 yang berlangsung di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), Kota Bharu, bermula 2 hingga 5 September ini.

Mereka ialah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.

Menurut laporan Sinar Harian, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyifatkan kehadiran wakil UMNO dalam muktamar parti itu bukan sesuatu yang baharu.

Beliau berkata, pemimpin UMNO pernah menghadiri Muktamar PAS sebelum ini, termasuk ketika program berkenaan diadakan di Pahang pada 2019 ketika kedua-dua parti bersama dalam Muafakat Nasional.

“Sebelum ini di Muafakat Nasional kita hadir dan UMNO juga hadir dalam muktamar kita di Pahang.

“Jadi, untuk kali ini kali kedualah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat akhir persiapan Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-72 di PUTIK pada Selasa.

Menurut Takiyuddin, kehadiran pemimpin UMNO itu turut memperlihatkan bahawa hubungan antara kedua-dua parti bukan sesuatu yang asing dalam sejarah politik semasa.

Persiapan Capai 90 Peratus

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan persiapan Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-72 sudah mencapai kira-kira 90 peratus dan kini memasuki fasa akhir.

Mesyuarat terakhir jawatankuasa persiapan diadakan pada Selasa sebelum latihan penuh atau raptai berlangsung selama dua hari bermula Rabu.

“Secara rasminya hari ini mesyuarat terakhir jawatankuasa. Tetapi esok dan lusa kita akan ada raptai sepenuhnya.

“Hari ini saya nak tengok apa-apa lagi yang belum siap sepenuhnya, kita akan selesaikan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!