Perkongsian seorang penulis bebas, Mohd Faisal, di Facebook mencetuskan perbincangan apabila beliau mengulas mengapa usaha UMNO untuk kembali memerintah Kelantan dilihat bukan sesuatu yang mudah selagi PAS tidak berdepan krisis dalaman.
Menurut beliau, sejarah politik Kelantan menunjukkan PAS hanya pernah tumbang apabila berlakunya krisis besar dalam parti itu sendiri, seperti yang berlaku pada penghujung 1970-an.
PAS tewas di Kelantan pada pilihan raya mengejut 1978, diikuti kekalahan dalam PRU 1982 dan 1986, sebelum mengambil masa kira-kira 12 tahun untuk kembali menguasai negeri itu pada 1990 — dan terus kekal sehingga kini.
Katanya, hubungan rapat PAS dengan rakyat Kelantan bukan dibina melalui janji kosong atau retorik semata-mata, sebaliknya melalui sentuhan berterusan dalam kehidupan seharian rakyat.
“PAS dekat dengan rakyat dari mula hidup sampai ke mati,” tulis beliau.
Menurut perkongsian itu, bantuan dan sokongan bermula seawal kelahiran, diikuti penyediaan pendidikan awal melalui PASTI, pendidikan rendah menerusi SRITI, seterusnya sekolah menengah dan institusi pengajian Islam di bawah Yayasan Islam Kelantan serta pusat-pusat pengajian lain.
Selain itu, rakyat turut menerima bantuan ketika mendirikan rumah tangga, bantuan makanan kepada golongan miskin, sehinggalah bantuan pengurusan jenazah apabila meninggal dunia.
Beliau turut menekankan peranan wakil rakyat PAS yang mudah ditemui rakyat dalam apa jua keadaan — sama ada di masjid, rumah, kedai kopi atau majlis kenduri.
“Kelebihan wakil rakyat PAS, mereka ada ilmu agama. Boleh jadi imam solat, imam jenazah, beri kuliah dan ceramah,” tulisnya.
Salah satu aset paling besar PAS di Kelantan menurut beliau ialah tradisi majlis ilmu, khususnya Kuliah Pagi Jumaat yang berlangsung setiap minggu di Pejabat PAS Kelantan di Kota Bharu, yang sentiasa dihadiri orang ramai sejak puluhan tahun lalu.
Katanya, kehadiran berterusan rakyat ke majlis ilmu itu, termasuk yang sanggup berkongsi kenderaan dan menyewa van dari jauh, membuktikan dahaga masyarakat terhadap ilmu serta kepercayaan yang mendalam terhadap PAS.
Beliau menegaskan, UMNO boleh terus mencuba untuk merampas Kelantan, namun selagi PAS tidak berdepan krisis dalaman, usaha tersebut bukanlah satu laluan yang mudah.
Sumber: Mohd Faisal
SHARE:
