Seorang tukang cuci warga Myanmar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas pertuduhan memberi rasuah RM1,400 kepada seorang anggota polis kira-kira empat bulan lalu.
Menurut laporan Kosmo, tertuduh, Thu Zar Myint, 41, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa memberi wang tunai berjumlah RM1,400 kepada seorang anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang pada April lalu.
Wang tersebut didakwa diberikan sebagai dorongan supaya anggota berkenaan tidak mengambil tindakan terhadap tertuduh yang disyaki tidak memiliki dokumen diri sah.
Ia turut bertujuan mengelakkan tindakan terhadap rakannya yang didakwa tidak mempunyai cop kemasukan ke Malaysia.
Berdepan hukuman penjara dan denda
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Asmah Che Wan, manakala tertuduh diwakili peguam S. Sathaiseelan.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 13 September untuk sebutan semula kes.
Sumber: Kosmo
