Stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Pasir Puteh bakal memainkan peranan lebih besar daripada sekadar membawa penumpang apabila turut dirancang sebagai hab kargo dan logistik.
Terletak di Jalan Cherang Tuli, Mukim Jeram, stesen itu merupakan stesen ECRL kedua di Kelantan selepas Stesen Kota Bharu di Tunjong.
Berbeza dengan Stesen Kota Bharu yang dikhususkan kepada perkhidmatan penumpang, Stesen Pasir Puteh akan mengendalikan perkhidmatan penumpang serta pengangkutan kargo.
Peranan tersebut dijangka memberikan kelebihan kepada Pasir Puteh untuk muncul sebagai pusat logistik dan industri hiliran penting di Kelantan.
Kedudukan strategik berhampiran Tok Bali
Pembangunan kawasan sekitar Stesen ECRL Pasir Puteh dirancang secara bersepadu menerusi Pelan Induk Bersepadu Guna Tanah Laluan Rel Pantai Timur (PGTA-ECRL).
Stesen itu dirancang untuk berfungsi sebagai hab penumpang, kargo dan logistik, manakala kedudukannya berhampiran Tok Bali Supply Base memberi kelebihan kepada pembangunan ekonomi Pasir Puteh.
Sinergi antara kedua-dua kemudahan itu berpotensi memudahkan pergerakan barangan industri, hasil laut dan kargo berat dari kawasan Tok Bali ke rangkaian rel yang menghubungkan Pantai Timur dengan Pantai Barat.
Kelebihan tersebut turut dijangka menarik pelaburan, membuka peluang pekerjaan dan merancakkan aktiviti ekonomi setempat.
Berpotensi berkembang sebagai hab industri hiliran
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, Stesen Pasir Puteh dikenal pasti sebagai stesen penumpang serta hab kargo dan logistik.
“Perancangan ini dirangka secara bersepadu menerusi Pelan Induk Bersepadu Guna Tanah Laluan Rel Pantai Timur (PGTA-ECRL) yang disediakan oleh PLANMalaysia.
“Melalui pelan itu, Stesen Pasir Puteh dikenal pasti sebagai stesen penumpang serta kargo dan logistik,” katanya ketika menjawab soalan lisan Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh di Dewan Rakyat.
Kedudukan stesen itu kira-kira 20 kilometer dari Tok Bali Supply Base juga membuka peluang untuk menghubungkan kemudahan rel dengan aktiviti pelabuhan dan industri di Tok Bali.
Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) turut menjalankan kajian bagi memperkukuh rantaian bekalan dan nilai sektor makanan di Pantai Timur.
Antara cadangan yang diteliti ialah pembangunan Collection, Processing and Packaging Centre (CPPC) berhampiran stesen ECRL bagi membantu produk tempatan memasuki pasaran domestik dan antarabangsa.
Sebanyak 46 projek bernilai RM207.2 juta
Kerajaan turut meluluskan 46 projek pembangunan bernilai RM207.2 juta bagi Parlimen Pasir Puteh di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Antara projek berkaitan ialah pengambilan tanah dan pembangunan infrastruktur kawasan industri di Cherang Tuli bagi menyokong aktiviti industri hiliran berhampiran stesen kargo ECRL.
Pelaksanaan projek berkenaan dijangka bermula pada 2026 dan disiapkan secara berperingkat sehingga 2030.
Tren penumpang mampu bergerak 160 km/j
ECRL menggunakan landasan tolok standard berukuran 1,435 milimeter yang dibangunkan untuk perkhidmatan penumpang dan pengangkutan barangan.
Tren penumpangnya direka untuk bergerak pada kelajuan maksimum 160 kilometer sejam, manakala tren kargo pula sehingga 80 kilometer sejam.
Gabungan perkhidmatan penumpang dan kargo menjadikan Stesen ECRL Pasir Puteh bukan sahaja pintu masuk pengangkutan awam, malah berpotensi menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi baharu di daerah berkenaan.
