Seramai 1,476 warga Myanmar akan dihantar pulang ke negara asal pada 29 September depan menerusi fasa pertama Program Penghantaran Pulang Secara Sukarela.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan program itu akan dilaksanakan secara berperingkat, selamat dan bertanggungjawab mengikut prosedur yang dipersetujui bersama kerajaan Myanmar.
“Kerajaan MADANI melalui KDN telah memuktamadkan fasa pertama program penghantaran pulang secara sukarela 5,000 pelarian rakyat Myanmar yang layak ke negara asal,” kata KDN dalam satu kenyataan media.
Keseluruhan 5,000 pelarian yang layak menyertai program tersebut telah dikenal pasti oleh Kerajaan Republik Kesatuan Myanmar.
Pengenalpastian itu dibuat menerusi Nota Diplomatik No.649/47 01 (2026) bertarikh 13 Ogos 2026.
Tarikh dipersetujui empat agensi
Tarikh penghantaran pada 29 September dipersetujui dalam Mesyuarat Penyelarasan yang melibatkan KDN, Kementerian Luar Negeri, Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Pertahanan.
Keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira keperluan logistik dan penyelarasan antara semua pihak terlibat.
Kerajaan Myanmar sebelum ini mencadangkan supaya proses penghantaran pulang dilakukan pada 28 Ogos.
Bagaimanapun, tarikh berkenaan ditetapkan semula kepada 29 September selepas mengambil kira persiapan yang diperlukan.
Tiga kapal Tentera Laut Myanmar digunakan
Menurut KDN, proses penghantaran pulang itu akan menggunakan dua buah kapal perang dan sebuah kapal hospital milik Tentera Laut Myanmar.
Fasa pertama melibatkan 1,476 orang daripada keseluruhan 5,000 pelarian Myanmar yang dikenal pasti layak untuk pulang ke negara asal secara sukarela.
