Seorang lelaki warga emas mengalami kecederaan melecur selepas dipercayai disimbah cecair cuka getah oleh isterinya ketika sedang tidur di rumah mereka di Kampung Bertam Baru, Gua Musang, awal pagi Rabu.
Menurut laporan Berita Harian, polis menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 2.14 pagi.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, mangsa merupakan seorang lelaki berusia 63 tahun, manakala suspek ialah isterinya yang berusia 33 tahun.
“Selepas kejadian mangsa mendapatkan bantuan daripada seorang kenalan untuk dihantar ke Klinik Kesihatan Bertam bagi mendapatkan rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP).
“Seterusnya mangsa dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu bagi mendapatkan rawatan lanjut akibat kecederaan lecur dialaminya.
“Suspek turut cedera pada perut dan mendapatkan rawatan di Hospital Gua Musang,” katanya.
Motif sebenar masih disiasat
Siasatan awal polis mendapati kejadian itu dipercayai mempunyai kaitan dengan perselisihan rumah tangga antara pasangan berkenaan.
Bagaimanapun, motif sebenar kejadian masih dalam siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Sumber: Berita Harian
