Hampir tiga daripada setiap 10 remaja berusia antara 13 hingga 19 tahun di Kelantan mencatatkan gejala kemurungan sederhana berdasarkan saringan kesihatan mental negeri bagi 2025.
Menurut laporan Sinar Harian, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, sebanyak 29.5 peratus remaja dalam lingkungan usia berkenaan memperoleh skor antara 10 hingga 14 menerusi Patient Health Questionnaire (PHQ-9).
Dapatan saringan itu menunjukkan golongan muda menjadi antara kumpulan yang memerlukan perhatian khusus melalui pengesanan awal, intervensi dan sokongan psikososial.
Angka tersebut merupakan hasil saringan gejala kesihatan mental dan bukan diagnosis klinikal secara individu.
“Manakala golongan dewasa awal berumur 20 hingga 39 tahun mencatatkan peratusan tertinggi bagi gejala kebimbangan sederhana iaitu sebanyak 47 peratus.
“Dapatan ini menunjukkan golongan muda merupakan antara kumpulan yang memerlukan perhatian khusus melalui pendekatan promosi, pengesanan awal, intervensi dan sokongan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan ADUN Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim pada Persidangan Kali Kedua Bagi Tempoh Penggal Keempat DUN Kelantan ke-15 di Kompleks Kota Darulnaim pada Khamis.
164 Sukarelawan di Seluruh Kelantan
Hilmi berkata, kerajaan negeri melalui Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) melaksanakan beberapa inisiatif bagi memperkukuh sokongan kesihatan mental.
Antaranya ialah program Komuniti Minda Sejahtera (K-MindSet) dan latihan pencegahan bunuh diri MySAVE.
Seramai 164 sukarelawan dilantik di seluruh Kelantan bagi membantu menjalankan saringan kesihatan mental dalam komuniti masing-masing.
“Kesemua 10 daerah di Kelantan kini mempunyai lokaliti K-MindSet masing-masing dengan dua lokaliti bagi setiap daerah.
“Seramai 20 sukarelawan di Kota Bharu, Tumpat (12), Machang (14), Tanah Merah (12), Bachok (22), Pasir Mas (18), Pasir Puteh (12), Jeli (12), Kuala Krai (26) dan Gua Musang (16),” katanya.
Aktiviti promosi, pendidikan dan saringan kesihatan mental turut dipergiatkan di institusi pendidikan, tempat kerja serta komuniti.
Langkah itu bertujuan meningkatkan kefahaman mengenai kesihatan mental dan menggalakkan individu mendapatkan bantuan pada peringkat awal.
Modul khusus untuk remaja dan belia juga dibangunkan menggunakan pendekatan interaktif seperti gamifikasi bagi menarik minat golongan sasaran.
15 Talian Psikososial Guna Dialek Tempatan
JKNK turut menyediakan platform Saringan Minda Sihat secara dalam talian yang membolehkan orang ramai menjalani saringan kendiri dan menerima keputusan segera.
Platform berkenaan turut menyediakan maklumat mengenai saluran bantuan dan rujukan termasuk Talian HEAL 15555 kendalian Kementerian Kesihatan Malaysia serta klinik kesihatan berhampiran.
Selain itu, sebanyak 15 talian Mental Health and Psychosocial Support (MHPSS) disediakan dan dikendalikan oleh 15 kaunselor di bawah JKNK.
“Kalau kita telefon HEAL 15555, kaunselor yang menerima panggilan mungkin bercakap dengan loghat yang berbeza. Jadi kita tubuhkan 15 lagi talian psikososial di bawah JKNK yang menggunakan dialek-dialek tempatan.
“Ini supaya rakyat Kelantan lebih selesa untuk mengadu dan mendapatkan nasihat,” katanya.
Talian MHPSS beroperasi dari jam 8 pagi hingga 5 petang pada Ahad hingga Rabu, manakala pada Khamis dari jam 8 pagi hingga 3.30 petang.
Perkhidmatan itu tidak beroperasi pada Jumaat, Sabtu dan cuti umum. Talian HEAL 15555 pula beroperasi selama 24 jam.
Sumber: Sinar Harian
