Seorang buruh dijatuhi hukuman penjara tiga tahun selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan mencederakan ibu saudara dan sepupunya menggunakan sebilah parang di Kuala Krai, empat tahun lalu.
Menurut laporan Berita Harian, tertuduh, Nazli M Taib, 49, mengaku bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid di Mahkamah Majistret Kuala Krai.
Mengikut pertuduhan, Nazli didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Siti Bidah Hamat, 67, dan Raja Adnan Raja Mohamed, 48, menggunakan sebilah parang.
Kejadian berlaku di Kampung Selajur Laloh, Kuala Krai, kira-kira pukul 2.30 petang pada 30 Disember 2022.
Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan jika disabitkan kesalahan.
Tetak Sepupu yang Cuba Membantu Ibunya
Berdasarkan fakta kes, tertuduh menetak Siti Bidah menggunakan parang sehingga warga emas itu mengalami kecederaan pada bahagian belakang badan.
Raja Adnan kemudian datang untuk membantu ibunya yang cedera, namun turut ditetak oleh tertuduh pada bahagian kepala.
Nazli melarikan diri selepas beberapa penduduk kampung datang ke rumah berkenaan.
Mengikut keterangan Siti Bidah, dia telah menjaga Nazli yang merupakan anak saudaranya sejak lelaki itu masih kecil.
Wanita itu juga sering berasa takut sekiranya tertuduh mengamuk di rumah kerana Nazli dikatakan tidak boleh ditegur dan sering bertindak di luar kawalan ketika berada di bawah pengaruh dadah dan alkohol.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mazlinda Mohd Nor, manakala tertuduh diwakili Farazalila Fauzi daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.
Sumber: Berita Harian
