Kanak-Kanak Hilang Ditemukan Meninggal Dunia Disyaki Dibunuh, Dua Lelaki Ditahan

Misteri kehilangan seorang kanak-kanak perempuan sejak 13 Julai lalu berakhir dengan tragedi apabila mangsa ditemukan meninggal dunia di kawasan cerun semak berhampiran sebuah rumah dalam pembinaan di Kampung Numbak, Sepanggar, Kota Kinabalu.

Mangsa, Nurjilya Abdullah, 11, ditemukan pada malam Rabu dalam keadaan mayat telah mereput sebelum pengecaman identiti dibuat oleh ibunya berdasarkan pakaian yang dipakai ketika dilaporkan hilang.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan mayat itu pada jam 10.38 malam.

"Hasil pemeriksaan awal di lokasi oleh pasukan forensik mendapati mayat mangsa berada dalam keadaan telah mereput.

"Pengecaman identiti kemudiannya dibuat oleh ibu mangsa berdasarkan pakaian yang dipakai oleh mangsa ketika dilaporkan hilang."

Beliau berkata, hasil bedah siasat oleh Pakar Perubatan Forensik mendapati punca kematian dipercayai akibat kecederaan pada bahagian muka dan belakang kepala yang disyaki disebabkan hentakan menggunakan objek keras dan tumpul.

"Bertindak atas maklumat dan siasatan yang dijalankan, pihak polis telah berjaya menahan dua lelaki bagi membantu siasatan kes ini.

"Kedua-dua suspek akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman bagi membolehkan siasatan diteruskan."

Menurut beliau, motif kejadian masih dalam siasatan dan polis sedang melengkapkan siasatan termasuk mendapatkan keterangan saksi serta bukti berkaitan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat ASP La Paula Abd Muis di talian 013-5149490 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sumber: Sinar Harian, Berita Harian

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!