Seorang pegawai polis berpangkat inspektor didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas dua pertuduhan meminta dan menerima suapan berjumlah RM12,000 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli pada April tahun lalu.
Tertuduh, Abdul Rahman Khairuddin, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.
Bagi pertuduhan pertama, Abdul Rahman didakwa secara rasuah meminta suapan sebanyak RM10,000 daripada Nur Fatma Atiqah Husin, 34, sebagai dorongan supaya tidak menuduh Nur Fatma Atiqah dan Fatimah Deraman mengikut Seksyen 19 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Ibu Pejabat Polis Daerah Jeli pada jam 10 pagi, 2 April tahun lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah IPD Jeli didakwa secara rasuah memperoleh wang tunai RM2,000 daripada Nur Fatma Atiqah Husin melalui Siti Nur Hanani Husin, 45, sebagai dorongan untuk tidak menuduh Nur Fatma Atiqah dan Fatimah Deraman bagi kesalahan yang sama.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada jam 2.30 petang di lokasi dan tarikh yang sama.
Pertuduhan tersebut dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.
Jika disabitkan kesalahan bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mariah Omar bersama pegawai pendakwa Rosmanazihah Othman, manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Khir Khairuddin.
Terdahulu, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM10,000 berserta syarat tambahan termasuk tidak mendekati saksi dan menyerahkan pasport.
Pihak pembelaan pula memohon jaminan minimum dengan alasan tertuduh merupakan penjawat awam dan mempunyai dua anak yang masih kecil.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin serta mengenakan syarat tambahan termasuk melapor diri di pejabat SPRM Kota Bharu setiap bulan dan tidak mengganggu saksi.
Mahkamah menetapkan 19 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Sumber: Harian Metro
