GUA MUSANG – Jalan Gua Musang–Lojing di Kilometer 78 berhampiran Kampung Jekjok, Pos Brooke ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan bermula hari ini, 17 September 2025, sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam kenyataan berkata, penutupan penuh itu terpaksa dilakukan berikutan kejadian lubang benam (sinkhole) yang berlaku di kawasan berkenaan.
Orang ramai dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal, mematuhi papan tanda keselamatan di lokasi serta menggunakan laluan alternatif melalui Gua Musang–Sungai Koyan–Ringlet menuju ke Tapah dan Ipoh, atau meneruskan perjalanan ke Cameron Highlands.
Sebelum ini pada Selasa, Kelantan Daily melaporkan jalan berkenaan yang biasanya mempunyai empat lorong telah ditutup selorong di kedua-dua arah bagi semua kenderaan. Namun keadaan semakin serius sehingga memerlukan penutupan penuh bermula hari ini.
Kejadian lubang benam pada 12 September lalu merupakan insiden kelima sejak tahun lepas. Sejak 23 November 2024, lokasi sama telah merekodkan beberapa kejadian termasuk pada 12 Disember 2024 apabila lubang kedua sedalam sembilan meter dikesan hanya lima meter dari lubang pertama.
Pada 15 Mac lalu, kejadian ketiga dilaporkan, manakala pada 27 Mac, laluan itu dibuka sementara kepada semua kenderaan ringan sempena Aidilfitri. Pada 7 Ogos dan 12 September tahun ini, dua lagi kejadian direkodkan, menjadikan ia lima kes keseluruhannya di Kilometer 78.
Penutupan sepenuhnya ini dijangka memberi kesan kepada pengguna jalan raya terutama mereka yang menuju ke Tanah Tinggi Lojing. Justeru, JKR menasihatkan semua pengguna supaya berhati-hati dan mengikut arahan keselamatan yang ditetapkan.
#KelantanDaily
Sumber: JKR Gua Musang, Berita Harian
