Mahkamah Sesyen Kuantan pada Isnin memerintahkan bekas Ketua Polis Daerah (OCPD) Temerloh, Mohd Azhar Mohd Yusoff, membela diri terhadap 46 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM69,600 tanpa balasan antara Mac 2019 hingga Januari 2023.
Hakim Sazlina Safie membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.
Dalam penghakimannya, beliau berkata mahkamah mendapati kesemua 46 pertuduhan yang dikemukakan terhadap tertuduh adalah teratur dan sah serta tidak melanggar Seksyen 164 Kanun Tatacara Jenayah atau Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.
Pendakwaan Berjaya Buktikan Kes Prima Facie
Mahkamah turut berpuas hati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie selepas membuat penilaian maksimum terhadap keseluruhan kes, termasuk keterangan daripada 20 saksi pendakwaan.
Selain itu, mahkamah memutuskan bahawa anggapan di bawah Seksyen 53 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah terpakai terhadap tertuduh.
Sehubungan itu, Mohd Azhar diperintahkan membela diri bagi kesemua 46 pertuduhan utama untuk menyangkal anggapan terhadap pertuduhan yang dikenakan.
Mahkamah menetapkan prosiding pembelaan pada 19 Ogos dan tertuduh memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi.
Didakwa Terima Wang Antara RM100 Hingga RM5,600
Pada 7 September 2023, Mohd Azhar mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan menerima rasuah tanpa balasan itu.
Dia didakwa menerima wang melalui transaksi pemindahan dalam talian ke akaun bank yang mempunyai kaitan dengan tugas rasminya sebagai pegawai kanan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh.
Kesalahan itu membabitkan penerimaan wang antara RM100 hingga RM5,600 daripada empat individu sebagai dorongan untuk melindungi mereka daripada dikenakan tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas pelbagai kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Fadhly Mohd Zamry dan Ifa Sirrhu Samsudin, manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Bob S Arumugam serta M Athimulan.
Sumber: Sinar Harian
SHARE:
