KOTA KINABALU – Hujan lebat berterusan sejak malam tadi mengakibatkan tiga kejadian tanah runtuh berasingan di Kota Kinabalu dan Papar pagi ini, meragut sekurang-kurangnya sembilan nyawa termasuk lima kanak-kanak.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda, berkata insiden paling tragis berlaku di Kampung Cenderakasih, Kolombong, Inanam kira-kira jam 9.15 pagi apabila tujuh mangsa, termasuk empat kanak-kanak berusia dua hingga sembilan tahun, maut selepas tertimbus.
“Terdapat 11 individu terlibat dalam kejadian ini. Empat berjaya menyelamatkan diri, namun seorang daripadanya mengalami patah kaki,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Pisar Aziz, memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.02 pagi sebelum pasukan penyelamat tiba di lokasi kira-kira 20 minit kemudian.
Seramai 24 anggota dari BBP Lintas dan BBP Tuaran terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Sementara itu, di Kampung Mook, Papar, dua lagi mangsa iaitu seorang wanita berusia 38 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun disahkan meninggal dunia selepas rumah mereka ditimpa tanah runtuh.
Operasi SAR yang dijalankan hampir empat jam berjaya menemukan kedua-dua mangsa sebelum operasi ditamatkan pada jam 2.25 petang.
Dalam kejadian berasingan di Kampung Marahang Tuntul, Papar, tiga individu dilaporkan tertimbus. Dua mangsa sudah ditemukan manakala seorang lagi masih hilang ketika usaha mengeluarkan mangsa diteruskan.
Menurut Mohd Pisar, panggilan mengenai kejadian itu diterima jam 9.20 pagi dan 16 anggota BBP Papar bergegas ke lokasi yang terletak kira-kira 13 kilometer dari balai berkenaan.
Papar terletak lebih kurang 40 kilometer ke selatan bandar raya Kota Kinabalu.
#KelantanDaily
Sumber: Berita Harian, Bernama
