Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Iliyas Jamil, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu atas tujuh pertuduhan rasuah membabitkan jumlah keseluruhan RM1.45 juta berkaitan tender menaik taraf Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil bernilai RM8.7 juta.
Tertuduh yang berusia 42 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Didakwa Minta Suapan RM1 Juta
Mengikut pertuduhan pertama, Iliyas didakwa meminta rasuah berjumlah RM1 juta daripada seorang individu berusia 60 tahun sebagai balasan untuk memilih syarikat Aerolux Power Constructions Sdn Bhd memenangi tender Projek Menaik Taraf Gelanggang dan Kemudahan Sukan di Pusat Skuasy Nasional, Kuala Lumpur Sports City Bukit Jalil.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Perbadanan Stadium Malaysia di Sri Petaling pada 24 Februari lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Terima Suapan RM450,000
Bagi pertuduhan kedua hingga ketujuh pula, tertuduh didakwa menerima wang tunai berjumlah RM450,000 daripada individu sama sebagai balasan memilih syarikat berkenaan memenangi tender projek tersebut.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat PSM dan sebuah restoran di Sri Petaling antara 25 Februari hingga 13 April lalu.
Jaminan RM100,000
Pada prosiding itu, pihak pendakwaan memohon jaminan RM200,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan termasuk menyerahkan dokumen perjalanan, melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Bagaimanapun, pihak pembelaan memohon jaminan lebih rendah antara RM50,000 hingga RM80,000 dengan alasan tertuduh masih mempunyai tanggungan keluarga serta kini digantung tugas.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia serta menetapkan syarat tambahan seperti yang dipohon pihak pendakwaan.
Kes akan disebut semula pada 27 Julai depan bagi serahan dokumen.
Sumber: Bernama
SHARE:
