PASIR MAS – Keupayaan Unit Anjing Pengesan Dadah (APD) K9 Narkotik Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan terus membuahkan hasil apabila berjaya menumpaskan cubaan pengedaran dadah bernilai keseluruhan RM30.2 juta sejak awal tahun ini.
Menurut Pengarah Kastam Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long, kejayaan itu melibatkan 28 kes rampasan menerusi operasi bersepadu di pintu masuk utama negeri ini serta serbuan berasaskan maklumat risikan.
“APD banyak membantu dalam mengesan cubaan penyeludupan dadah yang disorok dengan cara rumit pada bahagian tertentu kenderaan atau bagasi. Keupayaan ini membuktikan kawalan di pintu masuk negara semakin diperkukuh,” katanya di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang.
Tiga APD Baka Labrador Retriever
Unit K9 Narkotik Zon Timur kini mempunyai tiga ekor APD baka Labrador Retriever dari India, masing-masing diberi nama Tara, Bittu dan Snoopy. Difahamkan, jumlah keseluruhan APD Kastam di seluruh Malaysia adalah sebanyak 20 ekor.
Ketiga-tiga APD itu ditempatkan di Unit Penguatkuasaan Kastam Rantau Panjang dan bertugas secara bergilir di pintu masuk utama Kelantan serta lokasi tertentu mengikut keperluan risikan.
Ditubuhkan Sejak 1986
Unit Narkotik Kastam Kelantan ditubuhkan pada 1986 dengan kekuatan awal empat pegawai, tiga pengendali anjing dan tiga APD. Kini unit tersebut berkembang dengan fasiliti dan keanggotaan yang lebih mantap bagi memerangi penyeludupan dadah.
“Kastam Kelantan komited meneruskan usaha membanteras dadah demi keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” kata Wan Jamal.
Kaedah Tugas Anjing Pengesan
Mengenai kaedah operasi, beliau menjelaskan anjing pengesan akan dibawa mengelilingi kenderaan atau barangan yang disyaki. Jika terdapat dadah, anjing tersebut akan berdiam diri di tepi sasaran sebagai isyarat pengesanan.
“Setakat ini tugasan menggunakan APD amat memuaskan dan akan diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya.
#KelantanDaily
Sumber: Bernama
