Kegiatan memburu dan membunuh hidupan liar bagi mendapatkan bahagian badan bernilai tinggi untuk pasaran gelap terbongkar selepas satu operasi bersepadu dijalankan di Ladang Durian Sungai Chenulang di sini.
Dalam serbuan yang dilakukan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), pelbagai bahagian hidupan liar termasuk hempedu dan kaki beruang berjaya dirampas dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM160,000.
Ketua Pengarah PERHILITAN Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim, berkata pemeriksaan di sebuah rumah di kawasan ladang berkenaan menemukan pelbagai sisa bangkai hidupan liar yang telah dilapah.
Pelbagai Bahagian Hidupan Liar Dirampas
Menurut beliau, pihak berkuasa menyita satu tong besar berisi daging hidupan liar yang telah diproses selain sebilah lembing yang dipercayai digunakan untuk aktiviti pemburuan.
Turut dirampas tujuh unit kuku haiwan, 12 unit taring, 11 unit bahagian badan hidupan liar, Tujuh unit tulang hidupan liar, hempedu beruang dan kaki beruang.
Beliau berkata, bahagian tubuh haiwan liar itu dipercayai diperoleh hasil pemburuan haram untuk memenuhi permintaan pasaran gelap.
Lima Warga Myanmar Ditahan
Serbuan itu turut membawa kepada penahanan lima warga Myanmar yang disyaki terlibat secara langsung dalam aktiviti pemburuan dan pemilikan haram hidupan liar.
Menurut Abdul Kadir, tiga daripada suspek lelaki dan wanita yang ditahan memiliki kad pelarian UNHCR.
Kesemua suspek kini direman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai bagi membantu siasatan.
Sasar Organ Bernilai Tinggi
Siasatan awal mendapati pemburu haram mensasarkan organ dalaman serta anggota badan tertentu haiwan liar kerana mempunyai nilai tinggi dalam pasaran gelap tempatan dan antarabangsa.
Kes disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) kerana memiliki bahagian hidupan liar tanpa lesen atau permit yang sah.
Abdul Kadir menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti yang mengancam kelestarian hidupan liar negara.
Sumber: Harian Metro
SHARE:
