“Saya Sudah Maafkan Pakcik Itu…” – Bapa Nur Aini Umairah

“Untuk pakcik yang melanggar anak saya, saya sudah memaafkannya.”

Itu luahan Ahmad Fareez Khalid, 39, bapa kepada murid Tahun Dua yang maut dilanggar sebuah van di hadapan Sekolah Kebangsaan Seri Maimon, Parit Sulong, Batu Pahat, tengah hari tadi.

Menurut Ahmad Fareez, beliau dan keluarga menerima ketentuan itu dengan hati terbuka serta tidak menyalahkan pemandu van yang terlibat dalam kejadian tersebut.

“Sesuatu yang berlaku sudah tentu ada ketetapan. Kalau hendak menyalahkan sesiapa pun tidak boleh… siapa yang mahu perkara ini terjadi?” katanya.

Beliau turut merayu orang ramai agar tidak terus menyalahkan pemandu terbabit kerana kejadian itu berlaku di luar jangkaan.

“Permintaan saya, janganlah marah kepada pakcik itu. Jika kami sebagai ibu bapa sudah reda, tidak perlulah orang lain terus menyalahkannya. Kasihanilah dia,” ujarnya.

Dalam kejadian itu, mangsa, Nur Aini Umairah Mohd Fareez, 8, disahkan meninggal dunia selepas dipercayai dilanggar van di hadapan pintu pagar sekolah berkenaan.

Sementara itu, ibu mangsa, Asmilah Tukiran, 37, berkata kejadian berlaku hanya beberapa minit selepas dia terlewat untuk mengambil anaknya pulang.

“Saya terlewat beberapa minit sebelum melihat anak terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya.

Menurut Asmilah, kelewatan itu berlaku kerana dia menguruskan anak bongsu mereka, Ahmad Sufi Mohd Fareez, 5, yang baru pulang dari prasekolah sekitar jam 12.30 tengah hari.

Seperti biasa, dia memandikan dan menukar pakaian anak bongsu sebelum keluar semula untuk menjemput arwah kira-kira 10 minit kemudian.

Namun setibanya di hadapan sekolah, suasana bertukar cemas apabila orang ramai berkerumun di lokasi kejadian.

“Saya nampak orang ramai berkumpul dan terdengar murid menyebut nama ‘Aini’. Saya terus bertanya kepada guru sebelum dimaklumkan anak saya yang terlibat.

“Badan saya terus lemah dan saya tidak sanggup melihat jenazah kerana keadaannya parah,” katanya.

Tambahnya, sebelum ini dia sering mengingatkan arwah supaya menunggu di dalam kawasan pagar sekolah selepas tamat sesi persekolahan.

“Biasanya apabila saya tiba, barulah dia keluar. Namun hari itu saya tidak pasti mengapa dia berada di luar pagar, mungkin mahu membeli sesuatu,” katanya.

BERKAITAN:
Murid Tahun Dua Maut Dilanggar Van Depan Pagar Sekolah
“Saya Hanya Terlewat Beberapa Minit…” – Ibu Murid Maut Dilanggar Van
Pemandu Van Ditahan, Murid Tahun Dua Maut Dirempuh Depan Pagar Sekolah

Mengimbas kenangan, Ahmad Fareez berkata anaknya seorang yang ceria dan gemar bersolek, malah pernah meniru gaya solekan yang ditonton di YouTube.

“Kali terakhir arwah menyolek saya ketika kami membawanya berjalan-jalan ke Melaka minggu lalu. Itu menjadi kenangan terakhir kami,” katanya.


Sumber: Sinar Harian

SHARE:

TERKINI

Rohingya Tidak Layak Mohon Lesen, Pemilik Kenderaan Boleh Didakwa – JPJ Kelantan
|
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan menegaskan etnik Rohingya tidak…
Saifuddin Dedah 5 Daerah Catat Penyalahgunaan Dadah Tertinggi Dalam Negara
|
Penyalahgunaan dadah sintetik kini menjadi ancaman terbesar negara apabila…
Kereta Dah Jumpa, Nor Afiza Masih Belum Ditemui Sejak 16 Jun
|
Seorang wanita berusia 41 tahun yang dilaporkan hilang sejak…
Stephen Chow Kembali Dengan “Kung Fu Soccer” Julai Ini
|
Pengarah dan pelakon terkenal Hong Kong, Stephen Chow dilaporkan…
Bangladesh Tolak Permintaan PBB Sedia Lebih Banyak Tanah Untuk Pelarian Rohingya
|
Bangladesh menolak permintaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menyediakan…
KRW Sertai Piala FA Golok, 64 Pasukan Dari Malaysia Dan Thailand Bakal Berentap
|
Kelantan Red Warrior FC (KRWFC) menerima jemputan menyertai kejohanan…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!