Polis melepaskan dua das tembakan ke arah tayar sebuah kenderaan pacuan empat roda sebelum menahan pemandunya yang bertindak melanggar kenderaan polis dalam kejadian di kawasan Tepi Sawah, Jalan Masjid Tok Che Dol, Tanah Merah, semalam.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd Haki Hasbullah berkata, siasatan mendapati pemandu kenderaan pacuan empat roda terbabit mempunyai 13 rekod jenayah lampau.
Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 5.57 petang apabila polis mengesan kenderaan jenis Isuzu D-Max dalam keadaan mencurigakan sebelum suspek bertindak melarikan diri.
“Kejadian bermula apabila polis mengesan kenderaan jenis Isuzu D-Max dalam keadaan mencurigakan sebelum suspek bertindak melarikan diri.
“Pihak polis mengejar kenderaan itu sehingga ke kawasan sawah sebelum suspek tiba-tiba memberhentikan kenderaan dan bertindak agresif mengundurkan kenderaan pada kelajuan tinggi sehingga melanggar hadapan kenderaan polis,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Suspek Cuba Langgar Anggota Polis
Mohd Haki berkata, walaupun suspek diarahkan keluar, lelaki berkenaan enggan memberi kerjasama dan terus bertindak agresif apabila cuba melanggar anggota polis dengan mengundurkan kenderaan beberapa kali.
Tambahnya, bagi mempertahankan diri, pegawai serbuan mengarahkan seorang anggota melepaskan tembakan ke arah tayar kiri dan kanan belakang kenderaan suspek.
“Suspek akhirnya ditahan tanpa sebarang kecederaan dan kenderaannya dirampas,” katanya.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Sumber: Berita Harian
SHARE:
