Kutipan Zakat MAIK 2025 Cecah RM354.6 Juta, Tertinggi Dalam Sejarah Kelantan

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) merekodkan peningkatan kutipan zakat tertinggi dalam sejarah bagi tahun 2025 apabila mencatat kutipan sebanyak RM354.6 juta.

Jumlah itu meningkat 19 peratus berbanding RM296.8 juta dalam tempoh sama pada tahun 2024.

Yang Dipertua MAIK, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, segmen terbesar kutipan zakat adalah zakat pendapatan yang merekodkan jumlah RM229.2 juta.

Menurutnya, ia diikuti zakat perniagaan sebanyak RM62.1 juta, zakat wang simpanan RM25.4 juta, zakat harta RM14.5 juta, manakala lain-lain zakat termasuk zakat fitrah, zakat emas dan perak, zakat saham, zakat ternakan, zakat qadha serta zakat pertanian dan padi yang kumulatifnya mencecah RM23.2 juta.

Katanya, peningkatan terbesar direkodkan menerusi zakat pendapatan apabila meningkat 24 peratus atau RM43.8 juta berbanding RM185.3 juta pada tahun 2024.

“Prestasi ekonomi Malaysia yang menunjukkan daya tahan ekonomi yang baik dengan pertumbuhan kira-kira 5.5 peratus pada 2025 turut memberikan kesan langsung kepada peningkatan kutipan zakat di negeri Kelantan,” katanya pada Majlis Sidang Media Laporan Khas Kutipan dan Agihan Zakat MAIK di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata, peningkatan pendapatan rakyat secara tidak langsung turut menambah bilangan pembayar zakat serta jumlah kutipan, termasuk pembayar baharu seramai 27,944 orang buat kali pertama di MAIK.

Daripada jumlah itu, seramai 17,643 pembayar baharu adalah dalam kalangan belia berumur 20 hingga 39 tahun.

Menurutnya lagi, peningkatan kutipan zakat pada tahun lalu adalah tertinggi dalam sejarah MAIK hasil gabungan kekuatan ekonomi, pengurusan dan tatakelola yang baik, program promosi berkesan serta kesedaran agama masyarakat.

Dalam perkembangan sama, Tengku Mohamad Rizam berkata, agihan zakat MAIK bagi tahun 2025 turut meningkat kepada RM337.3 juta berbanding RM269.5 juta pada tahun sebelumnya, iaitu kenaikan sebanyak 25 peratus.

Katanya, agihan zakat itu meliputi RM162.3 juta kepada asnaf fisabilillah, RM117.4 juta kepada asnaf fakir dan miskin, RM50.1 juta untuk asnaf amil, al-gharimin, al-riqab dan ibnu sabil, manakala RM7.6 juta kepada asnaf mualaf.


Sumber: Bernama

SHARE:

TERKINI

Cucu Tok Guru Nik Aziz, Senator Azhar Pilih Berdamai Tamatkan Kontroversi
|
Kontroversi melibatkan cucu bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Nik…
MB Kelantan Salur Bantuan Awal Kepada Mangsa Kebakaran Gok Kapor
|
Kerajaan Negeri Kelantan menyalurkan bantuan awal kepada mangsa kebakaran…
Remaja 15 Tahun Cuci Kereta Demi Keluarga, MAIK Tampil Hulur Bantuan Buat Shamir
|
Seorang remaja berusia 15 tahun yang sebelum ini terpaksa…
Tragedi Tohoi: Hilang Dalam Hutan 47 Hari, Dua Murid Sekolah Berusia 10 Dan 11 Tahun Ditemui Selamat
|
Hampir 11 tahun berlalu, namun tragedi kehilangan tujuh murid…
Ibu Angkat Ditahan Kurung Kanak-Kanak 9 Tahun Dalam Stor Belakang Rumah
|
Nasib malang seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun yang…
Jangan Hukum Semua Pelarian Rohingya Kerana Kesalahan Segelintir Individu – ABIM
|
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menegaskan bahawa pendirian mereka…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!