Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan merekodkan peningkatan mendadak kes kebakaran terbuka apabila sebanyak 1,509 panggilan kecemasan diterima bermula Mac hingga kini susulan cuaca panas yang melanda negeri ini.
Pusat Gerakan Operasi JBPM Kelantan dalam kenyataan hari ini memaklumkan, daerah Bachok mencatatkan jumlah panggilan tertinggi iaitu 287 kes, diikuti Kota Bharu (193 kes), Pasir Mas (192 kes) dan Ketereh (127 kes).
Menurut kenyataan itu, peningkatan kes tersebut seiring pengumuman Status Cuaca Panas Tahap 1 (Berjaga-jaga) oleh Jabatan Meteorologi Malaysia, yang melibatkan daerah Pasir Mas, Machang dan Kuala Krai dengan suhu antara 35 hingga 37 darjah Celsius.
Dalam masa sama, JBPM Kelantan bersama beberapa agensi teknikal termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia serta agensi tindak balas seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan pasukan bomba sukarela kini giat menjalankan operasi pemadaman kebakaran terbuka di Kampung Kual, Bachok.
Operasi bersepadu itu melibatkan kawasan tanah gambut dengan anggaran keluasan sekitar 30 hektar.
JBPM turut memaklumkan, susulan peningkatan mendadak operasi sejak Mac, penggunaan bahan api turut meningkat sebanyak RM60,000 berbanding bulan-bulan sebelumnya.
“Jumlah kos ini dijangka terus meningkat pada April selaras dengan pertambahan kes kebakaran terbuka serta kenaikan harga bahan api susulan ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, JBPM menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan pembakaran terbuka kerana ia bukan sahaja menjejaskan kesihatan awam, malah memberi kesan negatif kepada alam sekitar dan aktiviti pertanian.
Menurut JBPM, perbuatan pembakaran terbuka merupakan kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan denda sehingga RM500,000 atau hukuman penjara.
Selain itu, kesalahan sama juga boleh diambil tindakan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang memperuntukkan kompaun sehingga RM2,000.
Sumber: Bernama
SHARE:
