Kerajaan Negeri Kelantan kini merangka pendekatan promosi pelancongan yang lebih efektif serta pembangunan produk berimpak tinggi bagi menembusi pasaran antarabangsa, khususnya China dan Singapura.
Perkembangan itu susulan dua kunjungan strategik pemain industri ke Pejabat Exco Pelancongan di Mabna, semalam.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, pertemuan melibatkan KMA Production Sdn. Bhd. dan Temasek Foundation dari Singapura itu dilihat sebagai langkah memperluas capaian promosi serta meningkatkan daya saing sektor pelancongan negeri di peringkat global.
Menurut beliau, perbincangan bersama KMA Production Sdn. Bhd. tertumpu kepada penghasilan kandungan kreatif yang menepati citarasa pelancong dari China termasuk strategi pemasaran digital bagi memperluas capaian kempen “Indahnya Kelantan”.
“Kerjasama ini diharap dapat memperkukuh kedudukan Kelantan sebagai destinasi pelancongan antarabangsa yang unik, selain meningkatkan daya tarikan negeri ini di mata pelancong luar,” katanya.
Dalam masa sama, kunjungan Temasek Foundation pula membuka ruang kerjasama lebih tersusun antara Kelantan dan Singapura, khususnya dalam pembangunan produk pelancongan bernilai tinggi yang mampu menarik kemasukan pelancong antarabangsa secara berterusan.
“Pembangunan produk pelancongan berimpak tinggi serta inisiatif yang mampu menarik lebih ramai pelancong antarabangsa menjadi antara fokus utama dalam usaha memperkasa sektor ini,” jelasnya menerusi media sosial pada Rabu.
Tambah beliau, jalinan kerjasama strategik dengan rakan antarabangsa dilihat sebagai pemangkin penting untuk memperluas capaian promosi Kelantan ke pasaran global di samping mempertingkat daya saing industri pelancongan negeri.
“Usaha ini bukan sahaja membuka lebih banyak peluang promosi, malah memperteguh kedudukan Kelantan sebagai destinasi pelancongan yang unik dan berdaya saing di peringkat serantau,” ujarnya.
Kerajaan negeri katanya akan terus memperluas jaringan kerjasama dengan pelbagai pihak bagi memastikan sektor pelancongan kekal sebagai antara penyumbang penting kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
Sumber: inforakyat.kelantan.my
SHARE:
