KOTA BHARU – Sejarah baharu bakal tercipta apabila seramai 1,111 pendikir akan berkumpul di atas satu pentas sempena Malam Kebudayaan 1,111 Pendikir yang dijadual berlangsung pada 19 September ini di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.
Persembahan dikir barat terbesar itu dijangka mencatat Malaysia Book of Records sebagai persembahan dikir barat dengan penyertaan paling ramai di atas satu pentas.
Sebanyak 40 kelab dikir barat seluruh Kelantan akan bergabung menjayakan acara bersejarah tersebut yang dijadual bermula jam 10 malam.
Malam kebudayaan itu juga akan menampilkan artis jemputan Roy Kapilla sebagai persembahan pembukaan.
Acara ini merupakan sebahagian daripada program Kelantan Charity Festival (KC Fest) 2025 yang akan berlangsung selama empat hari bermula 17 hingga 20 September di lokasi sama.
Festival tersebut bakal menyajikan pelbagai aktiviti menarik selain persembahan artis terkenal tanah air termasuk Dato' Awie, Ameng Spring, Rahmat Mega, Aris Ariwatan, Datuk Nash, Faizal Tahir, kumpulan Senario, Caliph Buskers, Bob Sentuhan dan ramai lagi.
Penganjuran Malam Kebudayaan 1,111 Pendikir ini bakal menjadi lambang kekuatan warisan budaya Kelantan yang masih segar dan relevan dalam mengangkat seni tradisi ke persada nasional.
Orang ramai dijemput hadir untuk menyaksikan sendiri detik bersejarah yang akan berlangsung disana nanti.
#KelantanDaily
Ingin buat hebahan dalam bentuk berita? Hubungi kami di admin@kelantandaily.com
