Imam Sambilan Didenda RM8,000 Mengaku Rakam Adik Ipar Sedang Mandi

Seorang imam sambilan didenda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah merakam adik iparnya yang sedang mandi menggunakan telefon bimbit, pada 24 Mac lalu.

Tertuduh berusia 36 tahun membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan maksud hendak mengaibkan kehormatan dan mengganggu kesantunan seorang wanita berusia 27 tahun apabila merakam mangsa yang sedang mandi menggunakan telefon bimbit.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Kok Lanas, Ketereh, kira-kira jam 6.30 petang, 24 Mac 2026.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mangsa Sedar Ada Telefon Merakam Dalam Bilik Air

Berdasarkan fakta kes, mangsa menyedari terdapat sebuah telefon bimbit yang merakamnya ketika sedang mandi.

Mangsa kemudian memeriksa dan mendapati telefon yang diletakkan di atas dinding bilik air itu adalah milik abang iparnya sendiri.

Wanita tersebut bertindak mengambil telefon berkenaan kerana bimbang video itu tersebar, sebelum membuat laporan polis.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nadzir Abdullah, manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Najwa Fahima Mohamad Fadzil.

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal memandangkan mangsa adalah adik ipar tertuduh dan kejadian berlaku ketika keluarga berkumpul sempena Aidilfitri di rumah nenek mereka.

“Tertuduh adalah imam sambilan di sebuah surau di Shah Alam, Selangor,” kata Muhammad Nadzir.

Pihak pembelaan pula memohon denda minimum dengan alasan tertuduh sudah insaf serta menanggung isteri dan dua anak, termasuk seorang anak yang menghidap penyakit jantung berlubang.

Majistret Tegur Perbuatan Tertuduh

Sebelum menjatuhkan hukuman, Majistret Rais Imran menegur tindakan tertuduh selepas mengambil kira lelaki itu mempunyai latar belakang bidang undang-undang serta menjadi imam yang sepatutnya memimpin keluarga dan menjaga maruah ahli keluarga sendiri.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM8,000, dan jika gagal membayar denda, tertuduh akan dipenjara selama 12 bulan.


Sumber: Berita Harian

SHARE:

TERKINI

Saifuddin Dedah 5 Daerah Catat Penyalahgunaan Dadah Tertinggi Dalam Negara
|
Penyalahgunaan dadah sintetik kini menjadi ancaman terbesar negara apabila…
Kereta Dah Jumpa, Nor Afiza Masih Belum Ditemui Sejak 16 Jun
|
Seorang wanita berusia 41 tahun yang dilaporkan hilang sejak…
Stephen Chow Kembali Dengan “Kung Fu Soccer” Julai Ini
|
Pengarah dan pelakon terkenal Hong Kong, Stephen Chow dilaporkan…
Bangladesh Tolak Permintaan PBB Sedia Lebih Banyak Tanah Untuk Pelarian Rohingya
|
Bangladesh menolak permintaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menyediakan…
KRW Sertai Piala FA Golok, 64 Pasukan Dari Malaysia Dan Thailand Bakal Berentap
|
Kelantan Red Warrior FC (KRWFC) menerima jemputan menyertai kejohanan…
Majlis Daerah Ketereh Baiki Bacaan Surah Dan Solat Kakitangan
|
Majlis Daerah Ketereh - Perbandaran Islam (MDKPI) menganjurkan Program…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!