Berita duka buat warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan apabila Pengarahnya, Tuan Hj. Azman Ismail, meninggal dunia akibat kanser usus pada awal pagi Isnin.
Menurut kenyataan KPDN Kelantan, pemergian Allahyarham disahkan oleh anak saudaranya, Ahmad Danial Asyee Zakaria selepas arwah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu pada jam 2.40 pagi.
KPDN memaklumkan, Allahyarham akan disolatkan di Masjid Al-Baqi Mukim Mujur, Jelawat pada jam 9 pagi sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuin Pasir, Jelawat, Bachok.
Allahyarham yang berusia 57 tahun meninggalkan seorang balu dan lima orang anak.
Difahamkan, Allahyarham sebelum ini ditidurkan sejak seminggu lalu akibat komplikasi penyakit kanser usus dan berada dalam pemantauan pihak hospital sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
“Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar buat warga KPDN, khususnya di Kelantan. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan seluruh ahli keluarga diberi kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi ujian ini,” menurut kenyataan itu.
‘Sangat Mesra Dan Banyak Membantu Media’
Sementara itu, wartawan penyiaran Radio Televisyen Malaysia (RTM), Majidah Ismail, 49, berkata pemergian Azman merupakan kehilangan besar buat pengamal media, terutama di Kelantan.
Menurutnya, Allahyarham seorang yang sangat mesra dan sering membantu ketika liputan berita membabitkan KPDN.
Beliau turut memaklumkan Allahyarham pernah terlibat dalam beberapa program anjuran Kelab Media Kelantan Darul Naim termasuk memberi pandangan bagi menjayakan Malam Anugerah Kewartawanan Kelantan pada tahun 2023.
Jenazah Allahyarham Tuan Hj. Azman Ismail, Pengarah KPDN Kelantan telah selamat dikebumikan pada jam 9.30 pagi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuin Pasir, di Jelawat (Foto: KPDN Kelantan)
SHARE:
