Polis menahan seorang lelaki yang disyaki menggunakan kad pengenalan milik empat individu berasingan bagi membeli lebih 100 liter petrol RON95, semalam.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, suspek ditahan ketika sedang mengisi petrol di sebuah stesen minyak di Tumpat.
Menurutnya, ketika pemeriksaan dilakukan, polis menemui empat kad pengenalan milik individu berbeza berada dalam simpanan lelaki terbabit.
“Ketika ditahan, polis menemui empat kad pengenalan milik individu berasingan dalam milikannya.
“Kad pengenalan itu digunakan untuk membeli lebih 100 liter petrol,” katanya kepada pemberita.
Mohd Yusoff berkata, kes tersebut telah dirujuk kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan suspek turut disiasat mengikut Akta Pendaftaran Negara 1959.
“Polis akan meneliti peruntukan undang-undang lain yang sesuai untuk diambil tindakan terhadap suspek,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan setakat ini pihak polis tidak mengesan sebarang kes melibatkan rakyat Malaysia yang membeli diesel di negara jiran sebelum dibawa masuk ke Kelantan melalui laluan tidak sah.
“Belum ada rakyat Malaysia ditahan ketika cuba membawa masuk diesel dari seberang sempadan,” katanya.
Harga diesel di negara jiran kini dilaporkan sekitar 38 baht (RM4.82) seliter, menjadikannya lebih murah berbanding di Malaysia.
Sumber: Bernama
SHARE:
