Pembangunan Kompleks Sukan Gual Ipoh kini memasuki fasa awal dengan tanah seluas 20 ekar telah berjaya diwartakan sebagai rizab sukan dan rekreasi.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Gual Ipoh, Bahari Mohamad Nor, berkata kawasan itu terletak di Rancangan Perkampungan Tersusun (RPK) Gual Ipoh, di belakang Masjid Gual Ipoh.
Menurutnya, pembangunan akan dilaksanakan secara berperingkat dengan keutamaan diberikan kepada pembinaan padang bola pada tahun ini.
“Kita mulakan tahun ini dengan menyiapkan padang bola terlebih dahulu. Selepas itu akan disusuli dengan padang takraw, badminton dan kemudahan sukan lain termasuk surau, kawasan parkir serta kiosk jualan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Tambah beliau, permohonan peruntukan turut dikemukakan kepada Exco Belia dan Sukan bagi pembinaan astaka serta tempat duduk penonton untuk kemudahan orang ramai.
Perancangan juga melibatkan pembinaan trek balapan berumput bagi membolehkan acara olahraga seperti larian dan lompat pagar dianjurkan, meskipun belum berkemampuan menyediakan trek sintetik.
Dalam memastikan pelaksanaan berjalan lancar, kerjasama sedang dijalinkan bersama Majlis Daerah Tanah Merah untuk merangka pelan pembangunan tapak berkenaan.
Menurutnya lagi, kompleks sukan tersebut dijangka memberi manfaat kepada sekolah-sekolah serta mana-mana entiti yang tidak mempunyai padang sendiri untuk menganjurkan perlawanan atau aktiviti sukan.
“Kita mengharapkan pihak Kerajaan Persekutuan, negeri, jabatan dan agensi berwajib untuk memajukan tapak seluas 20 ekar ini demi manfaat rakyat Gual Ipoh dan sekitarnya,” ujarnya.
Sumber: UPKN Kelantan
SHARE
