Trump Arah Serangan Kerana Mempunyai “Firasat” Iran Akan Menyerang

Ketegangan antara Israel dan Iran terus memuncak apabila pasukan tentera Israel bersama Amerika Syarikat (AS) berterusan membedil pelbagai sasaran di seluruh Iran pada Selasa.

Memasuki hari keempat peperangan, Presiden AS, Donald Trump, memaklumkan bahawa tentera AS telah menyerang “pelbagai sasaran tentera laut dan udara Iran”, sambil mendakwa “hampir segalanya telah dilumpuhkan”.

Trump turut menyatakan bahawa beliau mengarahkan kempen tersebut kerana mempunyai “firasat” Iran akan menyerang selepas rundingan berkaitan program nuklear negara itu terhenti.


Serangan Balas Di Teluk, Kedutaan Ditutup

Sebagai tindak balas, dron Iran dilaporkan menyerang kedutaan AS di Arab Saudi selepas sebelum ini menyasarkan misi diplomatik sama di Kuwait.

Menurut laporan Reuters, Washington telah menutup kedua-dua kedutaan berkenaan termasuk kedutaannya di Lubnan, selain mengarahkan kakitangan kerajaan bukan kecemasan dan keluarga mereka meninggalkan sebahagian besar wilayah Asia Barat.

Kepulan asap turut dilihat berhampiran konsulat AS di Dubai. Setiausaha Negara, Marco Rubio memaklumkan sebuah kawasan tempat letak kereta terkena serangan, namun semua kakitangan dilaporkan selamat.


Dakwaan Pemimpin Iran Terbunuh

Satu sumber yang mengetahui pelan perang Israel memberitahu Reuters bahawa kempen itu dirancang selama dua minggu dan sedang mencapai sasaran lebih cepat daripada jangkaan.

Sumber itu turut mendakwa beberapa pemimpin kanan Iran, termasuk Pemimpin Agung Ali Khamenei, terbunuh dalam serangan awal pada Sabtu.

Bagaimanapun, maklumat itu belum dapat disahkan secara bebas.

Trump sebelum ini berkata unjuran awal operasi tersebut dijangka berlangsung antara empat hingga lima minggu. Apabila ditanya siapa yang mahu menerajui Iran selepas ini, beliau menjawab, “Kebanyakan orang yang kami fikirkan sudah mati.”


Tehran Digegar Letupan, Bangunan Penting Ranap

Ibu negara Iran, Tehran, berulang kali digegarkan letupan apabila Israel menyerang stesen penyiar rasmi IRIB dan kawasan sekitar lapangan terbang Mehrabad.

Tentera Israel turut mendakwa menyerang tapak pembangunan nuklear bawah tanah Minzadehei di Tehran.

Bangunan yang menempatkan Majlis Pakar Iran di bandar Qom, yang bertanggungjawab memilih pengganti pemimpin tertinggi, dilaporkan ranap akibat serangan udara.


Rakyat Lari, Bandar Jadi ‘Hantu’

Reuters melaporkan keadaan di Tehran kini seperti “bandar hantu” apabila ramai penduduk melarikan diri dari bandar besar.

Seorang kakitangan bank dikenali sebagai Bijan mempersoalkan masa depan negaranya, manakala seorang ibu, Firuzeh Seraj, meluahkan ketakutan membawa anaknya mendapatkan rawatan dialisis selepas sebuah hospital turut diserang.


Pasaran Global Goyah, Harga Minyak Naik

Konflik itu turut menggegarkan pasaran global.

Harga minyak mentah melonjak lima peratus, manakala harga borong gas asli Eropah meningkat 40 peratus. Harga petrol di AS pula dilaporkan purata AS$3.11 segelen.

Indeks saham Wall Street merosot, susulan kerugian lebih tiga peratus di pasaran Eropah dan Asia.


Selat Hormuz Jadi Tumpuan

Iran dilaporkan melepaskan peluru berpandu dan dron ke negara Arab jiran yang menempatkan pangkalan AS serta menyekat perkapalan melalui Selat Hormuz — laluan penting yang membawa satu perlima bekalan minyak dan gas asli cecair dunia.

Qatar menghentikan pengeluaran LNG, manakala kapal tangki memilih berlabuh di Teluk.

Kos menyewa kapal tangki untuk menghantar minyak ke Asia meningkat hampir empat kali ganda kepada lebih AS$400,000 sehari.


Angka Kematian Terus Meningkat

Iran menyatakan jumlah kematian kini mencecah 787 orang, termasuk 165 kanak-kanak perempuan yang terbunuh pada hari pertama perang apabila sekolah mereka dibom.

Pejabat hak asasi manusia PBB menuntut siasatan terhadap serangan tersebut yang disifatkan sebagai “benar-benar mengerikan”.

Sumber: Malaysiakini, Reuters, Al Jazeera

SHARE:

TERKINI

Penerbangan Sulung Kota Bharu-Jakarta Cipta Sejarah Baharu Buat Kelantan
|
Sejarah baharu tercipta apabila penerbangan sulung AirAsia bagi laluan…
‘Punggung Isteri Menggerutu’ Antara 23 Alasan Pelik Penceraian Pasangan Muda
|
Punca perceraian dalam kalangan pasangan yang masih “setahun jagung”…
PGA Gagalkan Cubaan Seludup Minyak Masak Dan Gula Ke Thailand Di Rantau Panjang
|
Kegiatan warga Thailand yang membeli minyak masak dan gula…
Dua Anggota Tentera Maut Dipercayai Terkena Letupan Bom Semasa Latihan
|
Dua anggota tentera dilaporkan maut dipercayai terkena letupan bom…
Terkejut Nampak PGA, Lelaki Lari Tinggal Kereta Penuh Rokok Seludup Di Tumpat
|
Cubaan seorang penyeludup membawa masuk rokok putih seludup dipercayai…
8 Maut Selepas Pesawat Pengebom B-52 AS Terhempas Dan Terbakar Sejurus Berlepas
|
Lapan individu dilaporkan maut selepas sebuah pesawat pengebom B-52…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!