Beberapa pangkalan utama di Asia Barat dilaporkan bergegar dengan letupan selepas Pengawal Revolusi Iran mengesahkan serangan terhadap kemudahan tentera milik Amerika Syarikat (AS) di rantau itu sebagai tindak balas terhadap konflik berterusan antara kedua-dua negara, lapor Hindustan Times.
Berikut antara lokasi yang dilaporkan terkesan:
Bahrain
Utusan Bahrain ke AS, Abdalla Al-Khalifa mengesahkan berlaku serangan terhadap “tapak-tapak dalam kerajaan tersebut” tanpa memperincikan butiran lanjut.
Serangan dipercayai menyasarkan Armada Ke-5 AS di negara itu sebagai tindak balas kepada serangan AS-Israel di Tehran. Diplomat Bahrain itu berkata, Manama “mempunyai hak untuk bertindak balas” terhadap serangan di wilayahnya.
Abu Dhabi
Emiriah Arab Bersatu (UAE) memaklumkan pihaknya berjaya memintas peluru berpandu Iran dan berhak bertindak balas terhadap serangan berkenaan.
Penduduk di Abu Dhabi melaporkan bunyi letupan kuat di ibu negara itu yang menempatkan pangkalan tentera AS. Beberapa individu turut menerima amaran telefon supaya berlindung di bangunan selamat terdekat dan menjauhi tingkap susulan ancaman peluru berpandu.
Qatar
Beberapa letupan turut kedengaran di Doha, sekali gus mengundang kecaman kerajaan Qatar.
Doha menempatkan salah satu pangkalan tentera Amerika terbesar di Asia Barat dan sebelum ini pernah menjadi sasaran serangan Iran pada Jun tahun lalu.
Riyadh
Beberapa letupan kuat dilaporkan berlaku di Riyadh sejurus selepas Qatar dan pangkalan AS di Bahrain diserang, menurut laporan AFP.
Kuwait
Tentera Kuwait memaklumkan bahawa mereka telah memusnahkan peluru berpandu di ruang udara negara itu.
Jordan
Jordan menyatakan bahawa pihaknya menembak jatuh dua peluru berpandu balistik Iran.
Iraq
Beberapa roket dilaporkan dipintas di ruang udara berhampiran Konsulat AS di Erbil, Iraq, menurut laporan Reuters yang memetik agensi keselamatan.
Konflik antara AS dan Iran terus memuncak dengan beberapa negara di Asia Barat kini dilaporkan berada dalam keadaan berjaga-jaga susulan siri serangan dan tindak balas yang berlaku.
Sumber: Kosmo, Hindustan Times, AFP
SHARE:
![[VIDEO] Pangkalan Amerika Di Doha, Abu Dhabi, Dubai, Riyadh Meletup Dibedil Iran](https://kelantandaily.com/wp-content/uploads/2026/03/VIDEO-Pangkalan-Amerika-Di-Doha-Abu-Dhabi-Dubai-Riyadh-Meletup-Dibedil-Iran-e1772311571284.jpg)