Kelantan merekodkan pendakwaan pertama melibatkan kesalahan mengubah jantina di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019, sejak undang-undang tersebut diwartakan pada tahun 2020, lapor Malaysiakini.
Pendakwaan kes pertama itu berlangsung di Mahkamah Syariah Kelantan di Kota Bharu, pertengahan bulan lalu, melibatkan seorang individu yang disyaki transgender.
Menurut sumber, individu berkenaan ditahan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) dalam satu operasi awal tahun ini ke atas satu acara yang melibatkan sekumpulan transgender.
Pendakwaan Di Bawah Seksyen 18 Enakmen Syariah
“Susulan penahanan itu, satu pendakwaan dibuat ke atas suspek di Mahkamah Syariah Kelantan atas dakwaan melakukan pengubahan jantina.
“Difahamkan kes masih di peringkat pengurusan selepas tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut,” kata sumber yang enggan didedahkan identitinya.
Pendakwaan itu dibuat mengikut Seksyen 18 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019, yang memperuntukkan kesalahan mengubah jantina sendiri atau orang lain. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
Sensitiviti Isu Dan Reaksi Pelbagai Pihak
Dalam perkembangan berkaitan, Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan, Mohd Asri Mat Daud berkata, pihaknya tidak boleh mendedahkan perincian kes tersebut secara terbuka.
“Saya tiada maklumat lengkap dan ada isu yang tidak boleh dibuat pendedahan secara terbuka. Dalam hal ini, saya perlu menjaga semua pihak yang sedang diambil tindakan,” katanya.
Kes itu tidak diuar-uarkan kepada umum, selari dengan pendekatan kerajaan negeri Kelantan yang jarang menghebahkan kes berkaitan kesalahan syariah kepada masyarakat umum.
Sementara itu, pengasas bersama Justice For Sisters, Thilaga Sulathireh, menyatakan kebimbangan bahawa undang-undang yang menjenayahkan pengubahan jantina memberi kesan besar kepada kehidupan individu transgender.
Menurutnya, peruntukan sedemikian membuka ruang kepada gangguan, pencabulan privasi serta isu integriti diri dan autonomi tubuh badan.
Dalam konteks masyarakat Kelantan yang dikenali dengan identiti ‘Serambi Mekah’, isu melibatkan golongan Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender, Queer (LGBTQ+) kekal sebagai topik sensitif dan tabu dalam norma sosial setempat.
Temubual Dengan Beberapa Individu Transgender Di Kelantan
Malaysiakini dalam satu tinjauan turut menemubual beberapa individu transgender di Kelantan bagi mendapatkan respon susulan penguatkuasaan dan pendakwaan kes pengubahan jantina tersebut.
Rata-rata mereka menyuarakan kebimbangan mendalam tentang sejauh mana mereka akan terkesan serta tindakan yang perlu diambil dalam menghadapi situasi baharu ini.
Seorang jurujual yang juga transgender lelaki, hanya mahu dikenali sebagai Lin, awal 20-an, berkata pendakwaan kes itu memberi kejutan kepadanya walaupun dia belum berhasrat untuk melakukan pembedahan tukar jantina.
Menurutnya, tindakan penahanan juga boleh berlaku ke atas dirinya sekiranya ditahan ketika berpakaian wanita dan disyaki sebagai individu yang telah mengubah jantina.
“Sebagai seorang transgender, sudah tentu saya tidak bersetuju dengan pendakwaan ini. Ia seolah-olah memberi amaran supaya saya lebih berwaspada dan tidak menonjol.
“Setakat ini saya memang tidak berniat untuk mengubah anggota badan, walaupun pernah memikirkannya. Banyak pertimbangan lain diutamakan, tetapi bukan kerana berlakunya pendakwaan kes ini semata-mata,” katanya.
Sebagai rujukan, Fatwa Kebangsaan pada April 1982 telah memutuskan bahawa hukum mengubah jantina menurut syarak adalah haram, dan jantina asal seseorang tidak berubah walaupun melalui pembedahan.
Terdahulu pada 2021, kerajaan persekutuan turut menyatakan hasrat untuk memperketatkan undang-undang bagi menjadikan kesalahan penukaran jantina sebagai peruntukan khusus dalam undang-undang jenayah syariah.
Sumber: Malaysiakini
SHARE:
