Kelantan Antara Negeri Tertinggi Guna Perkhidmatan Bas.My

Kelantan muncul antara negeri yang mencatatkan penggunaan tertinggi perkhidmatan bas henti-henti Bas.My apabila purata 84,000 penumpang sebulan direkodkan pada suku keempat 2025, hampir dua kali ganda berbanding sebelum pelaksanaannya.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata jumlah itu meningkat ketara berbanding hanya 44,000 penumpang sebulan bagi tempoh sama pada 2024, sebelum Bas.My diperkenalkan di Kota Bharu.

Menurut beliau, prestasi tersebut bukan sahaja melepasi sasaran awal kementerian, malah membuktikan penerimaan baik rakyat Kelantan terhadap pengangkutan awam yang lebih sistematik dan mesra pengguna.

“Kelantan antara negeri yang mencatatkan penggunaan yang tinggi dan saya percaya perkhidmatan ini masih mempunyai ruang besar untuk terus berkembang,” katanya semasa sidang akhbar pada Khamis.

Sebelum itu, beliau hadir merasmikan Majlis Pelancaran Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-Henti Bas.My di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

Majlis turut dihadiri Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Pengerusi Eksekutif E-Mutiara, Che Ibrahim Che Ismail.

Anthony memaklumkan, pelaksanaan Bas.My Kota Bharu di bawah model Skim Bas Perantara (SBST) melibatkan 16 laluan merangkumi 11 kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh Kelantan.

Sebanyak 64 buah bas digunakan bagi operasi tersebut, terdiri daripada lapan bas elektrik (EV) bersaiz midi, 24 bas mini ‘low floor’ dan 32 bas mini konvensional.

“Reka bentuk bas berwarna merah jambu yang ceria turut diperkenalkan bagi memudahkan penumpang mengenali Bas.My serta menarik minat penggunaan pengangkutan awam sejak peringkat sekolah,” jelasnya.

Tambah beliau, Kerajaan Persekutuan melaburkan RM109.3 juta bagi tempoh lima tahun, atau kira-kira RM21.86 juta setahun, bagi memastikan kesinambungan dan kejayaan perkhidmatan Bas.My di Kota Bharu.

Anthony menjelaskan, model SBST membolehkan pengendali menerima bayaran tetap berdasarkan jumlah perjalanan dan jarak, tanpa bergantung kepada bilangan penumpang.

“Lebih ramai penumpang menggunakan bas ini, lebih berbaloi perbelanjaan kerajaan kerana kos purata bagi setiap penumpang akan menurun, sekali gus memberi manfaat maksimum kepada rakyat,” katanya.

Menurut beliau, sambutan amat menggalakkan diterima khususnya daripada golongan warga emas, orang kurang upaya (OKU) serta pelajar sekolah dan universiti yang menikmati pas konsesi percuma di bawah dasar nasional pengangkutan awam.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan kerajaan memperuntukkan lebih RM200 juta bagi perkhidmatan Bas.My di seluruh negara.



Setakat ini, hampir semua negeri telah melaksanakan perkhidmatan Bas.My kecuali Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang yang berada di bawah Rapid KL, manakala operasi di beberapa bandar lain seperti Sabah, Pahang dan Sarawak akan dilancarkan secara berperingkat.

Sumber: Sinar Harian

SHARE:

TERKINI

Bomba Kelantan Rekod 1,509 Kes Kebakaran Terbuka Sejak Mac, Bachok Tertinggi
|
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan merekodkan peningkatan…
Kelantan Sasar Pasaran China & Singapura, Rangka Promosi Pelancongan Lebih Efektif
|
Kerajaan Negeri Kelantan kini merangka pendekatan promosi pelancongan yang…
Bengkel Kereta Di Jalan Long Yunus Kota Bharu Terbakar, Lima Kenderaan Hangus
|
Sebuah bengkel kereta di Jalan Long Yunus, Kota Bharu…
Pengeluaran Dron Serangan Iran Meningkat 10 Kali Ganda Sejak Perang
|
Kadar pengeluaran dron serangan Iran dilaporkan meningkat sehingga 10…
YIK Lahirkan 5,720 Huffaz, 432 Graduan Tahfiz Dirai Dalam Majlis Graduasi Kali Ke-16
|
Yayasan Islam Kelantan (YIK) berjaya melahirkan seramai 5,720 huffaz…
MB Manfaat Lawatan PM Sabtu Ini, Bincang Pembangunan Perlu Disegerakan
|
Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke…
Jawatan Kosong Kelantan