Kekurangan Fizikal Tidak Padamkan Semangat ‘Mael Totey’ Berdikari Baiki Telefon Dari Rumah

Kekurangan fizikal tidak pernah memadamkan semangat seorang pemuda Orang Kurang Upaya (OKU) di Kampung Chawas, Tanah Merah untuk bangkit berdikari, sebaliknya menjadi pemangkin membina kehidupan yang lebih bermakna.

Berbekalkan tongkat dan kemahiran membaiki telefon pintar, Ismail Yusoff, 24, membuktikan keterbatasan bukan alasan untuk bergantung sepenuhnya kepada ihsan orang lain. Perkhidmatan baik pulih telefon yang dijalankan dari rumahnya sejak tiga tahun lalu kini menjadi sumber rezeki utama.

Dilahirkan dengan kecacatan pada kaki kanan, Ismail terpaksa meninggalkan pekerjaannya di sebuah kedai membaiki telefon pintar di Johor Bahru susulan pandemik COVID-19 yang menjejaskan peluang pekerjaan.

“Ketika pulang ke kampung, saya berdepan kesukaran mencari kerja dan pada masa sama bimbang memikirkan kelangsungan hidup, lebih-lebih lagi dengan keadaan fizikal saya.

“Namun sokongan rakan serta ahli keluarga memberi kekuatan untuk memulakan khidmat baik pulih telefon, bermula secara kecil-kecilan sebelum mendapat kepercayaan penduduk kampung,” katanya kepada Bernama.

Dikenali sebagai Mail Totey, Ismail berkata kemahiran tersebut diasah sepanjang dua tahun bekerja di kedai milik rakannya di Johor Bahru, pengalaman yang kini menjadi asas kelangsungan hidupnya.

Perkhidmatannya semakin mendapat sambutan apabila pelanggan bukan sahaja datang dari Kampung Chawas, malah sekitar daerah Tanah Merah dan kawasan berdekatan.

“Saya mengenakan caj antara RM100 hingga melebihi RM300 bagi setiap telefon, bergantung kepada jenis kerosakan dan jenama,” katanya.

Anak ke-10 daripada 12 beradik itu berkata pendapatan melebihi RM1,500 sebulan bukan sahaja membantu menampung keperluan harian, malah mengukuhkan keyakinannya untuk terus berdikari.

Selain itu, beliau turut menerima bantuan bulanan RM450 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat yang banyak membantu keperluan asas.

Menurutnya, ketiadaan kedai membaiki telefon di sekitar kampung membuka ruang untuk memanfaatkan kemahiran yang ada, sekali gus memudahkan penduduk setempat tanpa perlu ke bandar.

“Biasanya dalam sehari saya membaiki antara tiga hingga empat buah telefon. Sepanjang tiga tahun ini, pelanggan tidak pernah putus,” katanya.

Ismail juga memanfaatkan platform TikTok untuk mempromosikan perkhidmatannya, selain mendapatkan bekalan alat ganti secara kecil-kecilan daripada pembekal di bandar Tanah Merah.

Antara kerosakan yang kerap dibaiki termasuk masalah bateri, skrin dan port pengecas, yang memerlukan tahap ketelitian tinggi kerana melibatkan komponen kecil dan sensitif.



“Saya sedar untuk membuka kedai yang lebih besar memerlukan modal. Sebab itu saya bermula dari bawah. Jika ada rezeki, saya bercita-cita memiliki kedai sendiri.

“Kekurangan fizikal ini tidak akan saya jadikan alasan untuk berhenti berusaha,” katanya.

Sumber: Bernama

SHARE:

TERKINI

Iran Lancar Serangan Dron Ke Atas Beberapa Kapal Milik AS
|
Ketegangan di perairan Teluk Oman kembali memuncak apabila Iran…
Anak Pertama Dari Kampung Pok Keral, Tumpat Dapat Sambung Belajar Ke Jerman
|
Seorang anak yatim dari Kampung Pok Keral, Tumpat mencipta…
Pemangku Raja Kelantan Zahir Penghargaan Kepada PM, Puji Kerjasama Negeri Dan Persekutuan
|
Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra menzahirkan setinggi-tinggi…
PGA Dedah Penyeludup Masih Berani Isi Petrol Berulang Kali
|
Pasukan Gerakan Am (PGA) mendedahkan masih terdapat kenderaan digunakan…
Terima Upah RM70, Dua Lelaki Ditahan Bersama 13 Lembu Seludup Dari Thailand
|
Dua lelaki yang didakwa menerima upah RM70 untuk menghantar…
Rezeki Haji Sekeluarga, Isteri Simpan Hasil Toreh Getah Suami Jual Lembu Demi Ke Tanah Suci
|
Rezeki menunaikan haji tahun ini benar-benar menjadi kenangan paling…
Jawatan Kosong Kelantan